UiTM perkenal konvokesyen secara janji temu

Sesi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu akan dilaksanakan bermula 7 Nov sehingga 9 Jan 2021 di UiTM Shah Alam dan seluruh kampus cawangan.

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkenalkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu bagi menjaga keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan (4K) graduan, ibu bapa serta seluruh warga yang terlibat.

Naib Canselor, Prof Emeritus Mohd Azraai Kassim, berkata langkah alternatif itu dilakukan berikutan pandemik Covid-19 masih berleluasa dengan peningkatan kes yang tidak menentu.

“Menyedari hakikat inilah maka Pengurusan Tertinggi UiTM amat prihatin dan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat para graduan untuk mempunyai kenangan bergraduasi dalam suasana kebiasaan baharu.

“Janji temu yang diperkenalkan ini mengambil kira pelbagai aspek berkaitan 4K dengan merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Sesi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu akan dilaksanakan bermula 7 Nov sehingga 9 Jan tahun depan, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang namun tertakluk kepada sebarang pindaan.

Sesi penganugerahan itu akan dilakukan di UiTM Shah Alam dan seluruh kampus cawangan, berdasarkan pemilihan kampus terdekat oleh graduan tanpa mengambil kira tempat asal pengajian.

Azraai berkata melalui penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu, graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakamkan gambar kenangan, dan menerima skrol serta transkrip sebagaimana istiadat konvokesyen secara konvensional.

Mengikut soalan lazim bagi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu, sebanyak 22,834 graduan bagi Istiadat Konvokesyen UiTM ke-92 akan terlibat dalam sesi berkenaan.

Graduan boleh membuat permohonan untuk menerima diploma dan ijazah masing-masing menerusi Sistem Janji Temu Penganugerahan Diploma/Ijazah di laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/.

Proses pelaksanaan penganugerahan itu pula akan mengambil masa antara 7 hingga 15 minit bagi setiap graduan.

Penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dalam suasana kebiasaan baharu itu bagi menggantikan Istiadat Konvokesyen UiTM ketika ini yang lazimnya dilaksanakan 2 kali setahun.

Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-92 yang dijadualkan bermula 24 Mac lepas ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lepas.