Covid-19: Sarawak larang kemasukan dari Sabah, Labuan, mulai 4 Okt

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri mengambil langkah melarang kemasukan bukan hanya kerana peningkatan kes Covid-19 di Sabah, tetapi juga di beberapa buah negara jiran.

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengambil keputusan melarang kemasukan warganegara dan bukan warganegara Malaysia yang berada di Sabah dan Labuan mulai 4 Okt hingga 18 Okt, berikutan peningkatan jangkitan kes Covid-19 di negeri jirannya itu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hari ini berkata, hanya rakyat Sarawak yang berada di Sabah dan Labuan dibenarkan balik, tetapi perlu memohon melalui aplikasi dalam talian EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan.

“Mereka (rakyat Sarawak yang balik dari Sabah dan Labuan) akan dikenakan (menjalani) kuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari dan diambil ujian RT-PCR (Real Time Polymerase Chain Reaction) Covid-19 pada hari ke-2 dan ke-10,” katanya pada sidang media harian Covid-19 Sarawak di sini.

Bagi rakyat Sarawak yang dikategorikan dalam perkhidmatan penting dan perlu menjalani tugasan rasmi di Semenanjung Malaysia beliau berkata, mereka dibenarkan ke Semenanjung dan perlu memohon melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.

“Mereka juga wajib mendapat kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing dengan memuat naik surat rasmi tersebut serta surat jemputan mesyuarat ke aplikasi EnterSarawak, sebelum dibenarkan pulang tanpa kuarantin di pusat kuarantin,” katanya.

Uggah berkata, warganegara Malaysia yang bukan rakyat dari Sarawak dan warganegara asing yang ingin masuk ke Sarawak dari Semenanjung juga perlu memohon kemasukan melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.

“Mereka akan dikuarantin selama 14 hari dan ujian Covid-19 diambil pada hari ke-2 dan ke-10. Kos kuarantin dan ujian Covid-19 akan ditanggung oleh diri (mereka) sendiri,” katanya.

Bagi mereka yang terlibat dalam sektor penghantaran menggunakan jalan darat, beliau berkata, surat khas kebenaran dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian sama ada di Miri atau Limbang yang berjiran dengan Brunei perlu diperoleh, selain menjalani ujian Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

“Bagi mereka yang perlu melalui negara Brunei, mereka perlu patuh kepada semua arahan terkini yang dikeluarkan oleh kerajaan negara itu,” katanya, sambil menambah bahawa Brunei kini memperketatkan kemasukan warganegara asing di pos kawalan sempadan darat mereka.

Katanya, kerajaan Sarawak mengambil langkah yang sama bukan hanya kerana peningkatan kes Covid-19 di Sabah, tetapi juga beberapa buah negara jirannya.