Menteri sumber manusia teliti dakwaan buruh paksa terhadap FGV

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat berkata, pihaknya akan menahan minyak sawit dan produk komoditi yang dihasilkan FGV Holdings Berhad, berkuat kuasa hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata kementerian sedang meneliti dakwaan berhubung penggunaan buruh paksa terhadap FGV Holdings Bhd.

Ia susulan kenyataan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) bahawa ia akan menahan minyak sawit dan produk komoditi yang dihasilkan syarikat itu berkuat kuasa hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa 1 lagi kumpulan ladang besar akan berdepan sekatan sama tidak lama lagi.

Saravanan berkata beliau diberitahu oleh duta besar AS mengenai tuduhan terhadap FGV itu, tetapi tidak menjangka CBP akan mengeluarkan perintah sekatan.

“Saya perlu periksa apakah yang sedang berlaku. Saya akan periksa dengan pegawai untuk dapatkan maklumat lengkap mengenai masalah ini,” katanya kepada pemberita di luar sesi pertemuan dengan rakyat di Menara Manickavasagam, di sini, hari ini.

Dalam satu kenyataan pagi ini, FGV mengulangi komitmennya terhadap hak dan kebajikan pekerjanya selepas pihak berkuasa AS mengumumkan tindakan tersebut berikutan dakwaan berlaku penggunaan buruh paksa dan kanak-kanak.

CBP berkata, arahan dibuat terhadap FGV itu susulan siasatan selama setahun yang mendedahkan penggunaan buruh paksa, termasuk sekatan pergerakan, kekerasan fizikal dan seksual, penahanan gaji dan kerja lebih masa berlebih-lebihan.

Saravanan berkata, duta besar AS memaklumkan kepada beliau mengenai isu buruh di kebanyakannya melibatkan ladang di Sabah dan Sarawak, termasuk pekerja kanak-kanak.

“Saya dimaklumkan bahawa syarikat besar lain juga akan diharamkan. Saya tahu (firma mana), tetapi saya tak boleh (dedahkan),” katanya.

Katanya, kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, isu buruh adalah antara sebab utama beliau menggesa Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 dipinda.

“Ia akan menangani semua isu, tetapi beberapa kesatuan masih menentangnya,” katanya.

Ketika ditanya apakah beliau lihat larangan terhadap produk minyak sawit FGV dan minyak sawit adalah petunjuk bahawa pentadbiran sebelum ini gagal mengekang penyalahgunaan buruh, katanya, adalah tidak adil untuk menunding jari kepada sesiapa pada tahap ini.

“Larangan itu mungkin sudah lama tertangguh. Mungkin juga bukan kegagalan kerajaan dahulu. Ini bukan masalah boleh selesai dalam 1 malam,” katanya, sambil menambah kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Katanya, isu itu membimbangkan kerana Malaysia bergantung pada eksport komoditi seperti minyak sawit dan larangan tersebut akan merosakkan ekonomi negara.