Pakar sambut baik Kita Prihatin, tetapi berkata lebih banyak boleh dibuat

Seorang penyelidik di universiti berkata, kerajaan boleh memberi bantuan lanjut dengan meningkatkan kemahiran berbahasa dan digital di tempat kerja dalam kalangan rakyat.

PETALING JAYA: Dua pakar menyambut baik pakej Kita Prihatin dan inisiatifnya bernilai RM10 juta yang diumumkan minggu lepas, dengan berkata bantuan lebih lanjut boleh diberikan bagi meningkatkan kecekapan pekerja.

Pakar ekonomi Hoo Ke Ping, yang juga penasihat kepada Institut Strategik Kingsley, berkata, kerajaan membuat pilihan tepat untuk mendahulukan rakyat dengan memperkenalkan pakej itu sekarang, bukannya menunggu sehingga Belanjawan 2021 bulan depan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, subsidi gaji di bawah pakej Kita Prihatin dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja dan imelibatkan peruntukan RM2.4 bilion, manakala 200,000 usahawan mikro juga akan memperoleh manfaat daripada geran berjumlah kira-kira RM600 juta.

Beliau juga mengumumkan bantuan tunai Bantuan Prihatin Nasional 2.0 berjumlah RM7 bilion, yang terdiri daripada bantuan RM1,000 kepada setiap 3.7 juta keluarga B40, RM500 kepada 3.8 juta individu bujang dalam B40, RM600 kepada 1.4 juta keluarga M40 dan RM300 kepada 1.7 juta individu bujang dalam M40.

Hoo Ke Ping.

Hoo berkata, bantuan tunai dan subsidi gaji kali ke-2 akan membantu menampung keluarga sehingga mereka pulih daripada impak penularan Covid-19.

“Daripada menggunakan duit tersebut dalam pembinaan jalan raya dan projek pembangunan lain yang tidak akan membawa banyak impak, ia mesti diberikan kepada rakyat,” kata beliau kepada FMT.

“Mendahulukan rakyat dengan membantu mereka mengekalkan pekerjaan dan ada pendapatan adalah bijak. Mereka boleh terus berbelanja dan menggandakan ekonomi.”

Beliau berkata, tanpa program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM600 sebulan kepada setiap pekerja dalam sebuah syarikat yang bilangan maksimum 200 pekerja setiap syarikat, lebih 1 juta orang akan mengalami pengangguran.

Felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia Denison Jayasooria juga menyokong inisiatif tersebut kerana ia akan menghalang majikan daripada memberhentikan pekerja.

Bagaimanapun beliau berkata, pakej tersebut harus lebih berfokus kepada mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan Program Subsidi Upah 2.0 patut dilanjutkan sehingga 6 bulan, bukan 3 bulan.

Denison Jayasooria.

Jayasooria juga memberi amaran bahawa pemberian “duit percuma” kepada golongan besar yang berada di atas indeks garis kemiskinan akan melahirkan budaya kebergantungan.

Beliau berkata, kerajaan boleh memberi bantuan lanjut dengan melabur dalam usaha meningkatkan kemahiran berbahasa dan digital di tempat kerja.

“Ia membina kecekapan lebih baik dan melabur dalam komuniti. Pemerkasaan diri adalah cara lebih baik daripada pemindahan tunai semata-mata semasa penularan Covid-19,” kata beliau.

Beliau menggesa syarikat untuk mengambil alih tugas itu dengan bekerjasama dengan Dana Pembangunan Sumber Manusia untuk meningkatkan kecekapan pekerja dan motivasi ke arah produktiviti lebih tinggi.

Ini katanya boleh dibuat dengan melepaskan kakitangan sehari atau 2 hari setiap minggu sepanjang tempoh 3 sehingga 6 bulan untuk menaik taraf kemahiran dan pengetahuan mereka.