PAS yakin Hajiji beri khidmat terbaik kepada rakyat Sabah

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan terus berperanan dalam politik Sabah bersesuaian dengan kedudukannya sebagai komponen Perikatan Nasional.

PETALING JAYA: PAS merakamkan keyakinannya bahawa Ketua Menteri Sabah yang baru Hajiji Noor mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata, ini ditambah dengan kerjasama serta bantuan daripada kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“PAS akan terus berperanan dalam politik Sabah atas sikap dan gaya yang bersesuaian dan selaras dengan kedudukannya sebagai salah satu komponen Perikatan Nasional (PN).

“Selaras dengan itu PAS akan menyokong penuh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai oleh parti-parti BN, PN dan PBS yang diberi mandat mengemudi kerajaan Sabah selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 26 Sept lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS, khususnya di Sabah, mempunyai ahli yang terdiri daripada kalangan pelbagai etnik dan suku rakyat negeri itu, termasuk yang bukan beragama Islam melalui sayapnya, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Pada 29 Sept, Hajiji, 65, yang juga pengerusi PN Sabah mengangkat sumpah jawatan ketua menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri, Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

GRS sebulat suara menamakan Hajiji, sebagai calon ketua menteri menyusuli rundingan 2 hari antara PN dan Barisan Nasional (BN).

Gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri baru selepas memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri Sabtu lepas.

Gabungan kerajaan terdahulu Warisan Plus menang 32 kerusi, sementara baki 3 kerusi dimenangi oleh calon Bebas.