Saringan kesihatan lebih ketat di terminal pengangkutan awam bermula esok, kata Wee

SOP seperti penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka akan dikuatkuasakan tanpa kompromi bermula esok bagi kepentingan semua pihak, termasuk kakitangan dan pengguna pengangkutan awam.

PUTRAJAYA: Mulai esok, saringan kesihatan lebih ketat perlu dilaksanakan operator di terminal dan stesen, termasuk perkhidmatan kaunter pengangkutan awam di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, langkah pencegahan Covid-19 seperti melakukan pembersihan atau disinfeksi juga perlu dilaksanakan di semua lokasi itu.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka, perlu dikuatkuasakan tanpa kompromi demi kepentingan semua pihak, termasuk kakitangan dan pengguna pengangkutan awam.

“Mohon ambil perhatian serius berhubung perkara ini. Sebanyak 260 kes dilaporkan positif Covid-19 hari ini dan peningkatan sehingga angka 3 digit ini pastinya membimbangkan kita semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata, sebanyak 260 kes baru COVID-19 dicatatkan hari ini, ke-2 tertinggi selepas 4 Jun lalu yang merekodkan 277 kes.

Empat kluster baru Covid-19 pula dikenal pasti, iaitu kluster Jalan Meru di Selangor, kluster Joo Hwa di Sabah, kluster Selasih di Putrajaya dan kluster Bah Ketil di Kedah, katanya.