3 petugas SPR positif Covid-19 selepas bertugas di Sabah

Kesemua petugas SPR yang terlibat dengan pilihan raya negeri Sabah diarah menjalani kuarantin 2 minggu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh hari ini mengesahkan 3petugasnya pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah dijangkiti Covid-19.

Abdul Ghani berkata, selain 3 petugas itu yang kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, kesemua petugas SPR lain yang terlibat dengan pilihan raya itu diarah supaya menjalani kuarantin 2 minggu.

Sebelum ini, sebuah media portal melaporkan 2 petugas SPR dijangkiti Covid-19 selepas pulang daripada bertugas pada PRN Sabah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewajibkan semua pegawai SPR yang bertugas di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

“Mungkin kita akan lihat mereka yang kembali dari Sabah, terutama mereka yang berkhidmat di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak yang ada kebarangkalian dijangkiti (Covid-19).

“Jadi kita laksanakan saringan ujian dan mereka perlu duduk (kuarantin) di rumah. Sekiranya positif mereka akan masuk ke hospital untuk rawatan,” katanya.