89 ditahan ingkar PKP, termasuk 30 tak pakai pelitup

PETALING JAYA: Sebanyak 89 individu ditahan semalam kerana ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan Covid-19, termasuk 30 orang kerana tidak memakai pelitup muka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob hari ini juga melaporkan 29 orang ditahan kerana gagal patuhi SOP penjarakan fizikal.

Selain mereka 14 individu ditahan kerana gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri, 5 kerana kegiatan dalam pub atau kelab malam, seorang kerana premis beroperasi tanpa lesen, dan 10 kerana melanggar PKP Diperketatkan Bersasar.

“Daripada jumlah itu, seramai 77 individu dikompaun manakala 12 direman,” katanya dalam kenyataan.

Ismail turut melaporkan 22 pendatang asing tanpa izin dan 2 tekong ditangkap dalam Operasi Benteng. Pihak berkuasa turut merampas sebuah bot dan 9 kenderaan darat.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.