Covid-19: Ahli Parlimen, persatuan ibu bapa gesa tutup sekolah di Klang

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, peningkatan kes Covid-19 di Selangor menyebabkan rasa bimbang dalam kalangan ibu bapa berhubung keselamatan anak-anak mereka.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen Parlimen pembangkang bersama 64 pengerusi persatuan ibu bapa dan guru di sekolah sekitar daerah Klang menggesa supaya sekolah di kawasan itu ditutup serta merta susulan peningkatanmendadak kes Covid-19.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, peningkatan kes itu menyebabkan rasa bimbang dalam kalangan ibu bapa berhubung keselamatan anak-anak mereka.

Katanya, ibu bapa bertambah cemas selepas 2 pelajar SMK Pandamaran Jaya, Klang disahkan positif Covid-19 dan beberapa yang lain diarah menjalani kuarantin.

Katanya, 64 pengerusi persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di Klang menghantar surat rayuan kepada Jabatan Pendidikan Daerah supaya sekolah di kawasan berkenaan ditutup segera bagi memastikan anak-anak, guru serta warga sekolah tidak dijangkiti.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 287 jangkitan baru hari ini yang merupakan angka tertinggi yang direkodkan sejak wabak itu melanda negara.

Kesemua kes jangkitan baru hari ini membabitkan penularan tempatan.

Daripada jumlah itu 31 kes baru dicatat di Selangor melibatkan hampir separuh individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

KKM turut memaklumkan 2 kluster baru Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini membabitkan kluster Seri Setia dan kluster Seri Anggerik.

Kedua-dua kes indeks kluster tersebut melibatkan lelaki warga Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Belum bincang ‘lockdown’ di Selangor

Dalam pada itu Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum membincangkan sama ada Selangor perlu “lockdown” susulan kadar kebolehjangkitan yang meningkat di negeri itu.

“Kita masih belum bincang sama ada perlu kita ‘lockdown’ ataupun tidak di Selangor,” katanya hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM telah melaksanakan kawalan kesihatan di negeri itu dan berharap jumlah jangkitan dapat di kurangkan.

“Jadi kita harap kita dapat membendung penularan jangkitan kes yang telah dikesan dan juga kluster yang sedia ada.