Dua lagi kluster baru Covid-19 dikenal pasti di Selangor

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster baru di Selangor yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, 2 lagi kluster baru Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini.

Ia membabitkan kluster Seri Setia dan kluster Sri Anggerik.

“Kedua-dua kes indeks kluster terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, bagi kluster Seri Setia 4 individu dijangkiti dan bagi kluster Seri Anggerik, 14 kes didapati positif setakat ini.

“Kluster Seri Setia dikenal pasti di Seri Setia, Selangor dan Kuala Lumpur. Kes indeks kluster ini (kes 10,927) adalah lelaki warga Malaysia berumur 36 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah, dari 16 hingga 20 September lalu.

“Beliau bergejala sejak 21 Sept dan saringan Covid-19 dikesan positif pada 27 Sep. Kes kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 3 lagi kes positif dikenal pasti. Semua kes membabitkan rakyat Malaysia dan dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, bagi kluster Seri Setia, 23 individu disaring dengan 4 dikesan positif, 14 negatif dan 5 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di sini.

Noor Hisham berkata, kluster Seri Anggerik pula dikenal pasti di Hulu Selangor dengan kes indeks (kes 10,776) berumur 37 tahun mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dari 9 hingga 18 Sept lalu.

“Beliau mula bergejala sejak 25 Sept dan telah disaring. Selepas dikesan positif pada 26 Sept, beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 14 lagi kes positif dikenal pasti bagi kluster ini. Semua kes positif membabitkan rakyat Malaysia dan dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan.

“Sejumlah 67 individu disaring dengan 14 dikesan positif, 15 negatif dan 38 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan juga masih dalam siasatan,” katanya.