Kerajaan negeri, pembangkang ucap takziah atas kematian Liew

Bekas menteri dan ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong meninggal dunia pada 11.50 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

TUARAN: Kerajaan negeri Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong yang meninggal dunia hari ini.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri juga berharap keluarga mendiang bersabar menghadapi ujian itu.

“Kerajaan negeri Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, saya harap keluarga bersabar dan dapat menerima ketentuan Tuhan yang Maha Esa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Haji Noor, Kampung Serusup di sini, hari ini.

Liew meninggal dunia pada 11.50 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Beliau sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tenat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Liew, 60, yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai ahli Parlimen Batu Sapi pada pilihan raya umum ke-14 lalu dan pernah menjawat jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi undang-undang serta merupakan pengerusi tetap Warisan.

Liew yang juga seorang peguam, meninggalkan isteri Dr Lindai Lee dan empat orang anak.

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr berkata, parti itu kehilangan seorang pemimpin yang cukup dihormati yang menyumbang kepada negara serta negeri menerusi kerja keras serta dedikasi.

Katanya, parti berasa cukup sedih dengan kematian Liew dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

“Presiden parti Mohd Shafie Apdal sudah dimaklumkan mengenai berita sedih ini dan beliau menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Lindai Lee dan 4 anaknya.

“Keluarga mendiang mohon agar masyarakat memberi mereka ruang bagi menghadapi tempoh sukar ini. Urusan pengebumian akan dimaklumkan apabila tiba masanya,” katanya dalam kenyataan.