PLUS rugi RM400 juta sepanjang 3 bulan pertama PKP, kata pengarah urusan

PLUS berkata, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya itu meningkat kepada 1.5 juta sehari sejak kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri pada Jun.

MELAKA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengalami kerugian kira-kira RM400 juta dalam tempoh 3 bulan bermula Mac berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarah urusan PLUS Azman Ismail berkata, jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu berkurangan sebanyak 90%, daripada 1.7 juta kenderaan sehari kepada 170,000 kenderaan dalam tempoh tersebut.

“Hasil kita jatuh sebanyak 90%, iaitu pada Mac, April dan Mei, bagaimanapun, ia kembali meningkat bermula 6 Jun selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri.

“(Namun), RM400 juta tidak boleh diperoleh semula dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada syarikat dan pekerja,” katanya pada program bual eksekutif bertajuk “Leadership In Steering The Organisation Across Turbulent Time Towards Recovery From Covid-19” di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Azman Ismail.

Beliau berkata, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya PLUS kini meningkat kepada 1.5 juta sehari dan dijangka terus meningkat jika kerajaan membuka sepenuhnya pintu sempadan Malaysia-Singapura pada masa akan datang.

Katanya, pengurusan PLUS membuat banyak keputusan penting untuk mengelak impak yang besar kepada pengoperasian syarikat dan kebajikan pekerja.

“Apa pun saya tidak akan memotong gaji pekerja dan akan memastikan kira-kira 3,800 orang dapat terus bekerja dalam situasi getir ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, PLUS tidak melupakan aspek tanggungjawab sosial korporat kepada barisan hadapan, khususnya pihak hospital di negara ini dalam menangani pandemik Covid-19.

“PLUS menyalurkan RM1.2 juta bagi menyediakan peralatan perlindungan diri dan peralatan perubatan untuk disumbangkan kepada Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

“Pekerja PLUS turut membuat kutipan berjumlah RM128,000 untuk disumbangkan dalam bentuk fasiliti perubatan kepada 7 hospital di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS,” katanya.