Rocky dan Legally Blonde bakal diolah menjadi ‘konsert dalam filem’

‘Rocky’ telah pun diadaptasi ke sebuah muzikal; gambar menunjukkan pelakon Sylvester Stallone di majlis pembukaan muzikal ‘Rocky’ di TUI Opera House di Hamburg, pada Nov 18, 2012. (Gambar AFP)

PERANCIS: Sekiranya anda merupakan peminat Rocky pastinya anda akan teruja untuk menikmati konsert yang bakal dipersembahkan oleh kumpulan orkestra secara langsung pada musim panas akan datang. Metro Goldwyn Mayer dan TCG Entertainment telah pun membuat pengumuman berkenaan persembahan ‘konsert dalam filem’ Rocky.

Lagu single hit daripada enam filem yang menampilkan Rocky seperti “Eye of the Tiger” dan “Burning Heart” daripada Survivor dan “Gonna Fly Now” daripada Bill Conti akan dimainkan di dalam konsert orkestra tersebut untuk siri persembahan “Rocky in Concert”.

Karakter Rocky dilakonkan oleh Sylvester Stallone, merupakan seorang peninju profesional dari Philadelphia mempunyai darah Amerika-Itali dan Rocky bakal meraikan ulang tahun yang ke-45 di layar perak pada tahun 2021.

Filem lain yang bakal diolah menjadi ‘konsert dalam filem’ ialah Legally Blonde yang menampilkan Reese Witherspoon sebagai Elle Woods, seorang ikon fesyen California yang mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar jurusan undang-undang di Universiti Harvard. Filem komedi yang bakal mencecah usia 20 tahun ini, turut mempunyai lagu runut bunyi yang pastinya malar hijau dan memberi inspirasi.

Antara lagu-lagu yang terselit dalam filem ini ialah Perfect Day daripada Hoku, Magic daripada Black Eyed Peas, dan One Girl Revolution daripada Superchick. Lagu-lagu hit 2000 ini akan dimainkan secara langsung oleh kumpulan orkestra semasa filem Legally Blonde ini ditayangkan.

Kedua-dua konsert bersiri ini akan diadakan pada musim panas 2021 di Amerika Utara, Eropah, dan Australia serta akan berlangsung sehingga Jun 2024.

Metro Goldwyn Mayer dan TCG Entertainment belum lagi mengumumkan sebarang langkah keselamatan yang akan digariskan di teater yang berkaitan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]