Syarikat penerbangan setuju jadual semula tiket pelajar universiti, kata kementerian

Pendaftaran kemasukan secara bersemuka pelajar baru dan lama institusi pengajian tinggi ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19 selang beberapa hari dari tarikh kemasukan pelajar.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah berunding dengan syarikat penerbangan bagi memohon pertimbangan penjadualan semula penerbangan pelajar pulang ke kampus, khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan ke institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

Dalam kenyataan hari ini, KPT memaklumkan bahawa syarikat penerbangan bersetuju menjadualkan semula penerbangan pelajar IPT sehingga 31 Dis 2020.

“KPT prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan pelajar, ibu bapa dan masyarakat berikutan peningkatan kes Covid-19 yang berlaku hanya selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baru ke universiti.

“Justeru KPT mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat penerbangan,” menurut kementerian itu.

Pada 27 Sept lepas, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dilaporkan mencadangkan supaya IPT menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baru dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka.

Noraini mahu proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.

Mengulas lanjut perkembangan itu, KPT pada masa sama mengalu-alukan keprihatinan dan kepekaan semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar terbabit.

Mengenai pelajar IPT yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, KPT meminta mereka kekal berada di kampus masing-masing.

“Pihak IPT perlu membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPT mencadangkan agar pihak pengurusan IPT menangguhkan semua program atau aktiviti yang melibatkan himpunan di dalam kampus.