Ahli politik, kerabat diraja, ahli perniagaan Malaysia tersenarai dalam kebocoran data Zhenhua

Syarikat China Zhenhua Data disyaki mengumpulkan data itu bagi tujuan perisikan. (Gambar fail)

PETALING JAYA: FMT memperoleh salinan data dikumpulkan oleh sebuah syarikat data China yang dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi ketenteraan dan perisikan Beijing, mengandungi hampir 1,400 nama rakyat Malaysia termasuk ahli politik, kerabat diraja dan ahli perniagaan terkemuka.

Syarikat, Zhenhua Data, yang berpusat di Shenzhen, bermegah mempunyai Tentera Pembebasan Rakyat dan Parti Komunis China sebagai pelanggan utamanya, menurut laporan Australian Broadcasting Corporation.

Walaupun sebahagian besar data adalah maklumat tersedia untuk umum, ia dikumpul dan disusun, menunjukkan usaha pengumpulan risikan yang diselaras dan strategik.

Penyertaan dalam senarai itu tidak hanya membabitkan individu dalam aktiviti jahat, ini menunjukkan pada suatu ketika mereka dianggap layak untuk dipantau oleh pencipta senarai tersebut.

Pangkalan data itu mengandungi maklumat mengenai ahli Parlimen dan menteri terkemuka, semasa dan bekas, daripada parti seperti DAP, MCA dan Umno, termasuk presiden parti.

CEO dan ahli lembaga pengarah syarikat swasta dan awam turut muncul dalam pangkalan data yang diperoleh.

Ada juga catatan yang disimpan mengenai ahli keluarga ahli politik, termasuk keturunan bekas perdana menteri.

Maklumat mengenai bekas anggota tentera terkemuka juga dicatat dalam data yang bocor itu.

Terdapat juga ratusan catatan mengenai mereka yang didakwa dengan jenayah seperti penipuan dan pecah amanah, serta kesalahan seperti pengedaran dadah, penculikan dan keganasan.

Syarikat sekuriti siber yang berpangkalan di Canberra, Internet 2.0 berjaya mendapatkan kembali 250,000 daripada 2.4 juta nama dalam senarai diberikan kepada mereka, bermaksud kebocoran itu hanya lebih dari 10% daripada jumlah pangkalan data.

CEO dan pengasas bersama Internet 2.0 Robert Potter berkata kepada FMT, maklumat itu dapat digunakan oleh penganalisis untuk menilai “sasaran” individu, dan juga menjadi asas kempen pengaruh yang meluas.

Mengenai persoalan kesahannya, Potter berkata walaupun banyak data tersedia dalam talian, pengumpulannya menimbulkan isu etika.

“Syarat perkhidmatan platform ini membolehkan pengguna memberikan data kepada firma yang mengoperasikannya. Namun, tidak selalu sah untuk mengikis data tersebut bagi tujuan pihak ketiga. ”

Katanya, walaupun undang-undang privasi China tidak melarang tindakan tersebut, “sangat bermasalah untuk mengatakan undang-undang China akan dikenakan terhadap warga Malaysia yang memberikan data kepada Facebook mengikut bidang kuasa Malaysia”.

Ketika ditanya apakah kerajaan perlu bimbang, beliau mengingatkan, “mereka perlu,” dengan memetik siasatan mengenai perkara itu di India, Australia dan UK.

Menteri (Kanan) Keselamatan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata laporan berita antarabangsa mengenai kebocoran itu memerlukan pengesahan sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil.

Potter berkata, sementara syarikatnya terus berusaha memulihkan data, dia tidak rasa ia akan dapat dipulihkan sepenuhnya.