3 lagi kluster baru Covid-19 dikenal pasti, 2 di Kedah, 1 Selangor

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, 3 lagi kluster baru Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 2 kluster baru ditemui di Kedah dan 1 di Selangor.

“Tiga kluster baru, 2 di Kedah dan 1 di Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kedua-dua kluster baru di Kedah, iaitu kluster Bah Lunas dan Bah Rose melibatkan kes indeks yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Beliau berkata, kluster Bah Lunas dikenal pasti di Kulim dengan kes indeks kluster ini merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 35 tahun yang pulang dari kawasan berisiko di negeri Sabah.

“Beliau dikesan positif pada 30 Sept 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 3 lagi kes positif bagi kluster Bah Lunas dikenal pasti. Semua kes positif melibatkan warganegara Malaysia dan dimasukkan ke hospital sama.

“Sehingga 3 Okt 2020, jam 12 tengah hari, 112 individu disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut: 4 dikesan positif, 21 negatif dan 87 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Bagi kluster Bah Rose, ia membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun yang juga mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Kes dikesan positif pada 29 Sept 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 7 lagi kes positif bagi kluster Bah Rose dikenal pasti. Semua kes positif melibatkan warganegara Malaysia dan dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan.

“Sehingga 3 Okt 2020, jam 12 tengah hari, 477 individu disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut: di Kedah, 81 disaring dengan 7 dikesan positif, 69 negatif dan 5 masih menunggu keputusan.

“Sementara di Pulau Pinang membabitkan kluster sama, 396 disaring, 1 dikesan positif, 71 negatif dan 324 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu 1 kluster baru Covid-19 di Selangor hari ini membabitkan kluster Jelok yang dikenal pasti di negeri ini dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes indeks kluster ini adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 27 tahun.

“Kes dikesan positif melalui saringan individu bergejala pada 1 Okt 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 3 lagi kes positif bagi kluster Jelok dikenal pasti. Semua kes positif melibatkan warganegara Malaysia dan dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan.

“Sehingga 3 Okt 2020, jam 12 tengah hari, 8 individu disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut: 4 dikesan positif dan 4 negatif. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.