Ahli Parlimen Umno akan desak PRU, tak tolak bajet, kata penganalisis

Dua penganalisis berkata ahli Parlimen Umno akan mengundang kemarahan penjawat awam jika mereka menolak Belanjawan 2021.

PETALING JAYA: Dua penganalisis berpendapat ahli Parlimen Umno tidak akan menolak bajet bakal dibentangkan di Parlimen bulan depan sebaliknya menggunakan cara lain untuk memaksa pilihan raya awal.

Mereka berkata ahli Parlimen tidak mahu mengundang kemarahan penjawat awam, namun mereka mungkin mencuba cara lain untuk memaksa pilihan raya awal.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, ahli Parlimen Umno mungkin terus menekan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membubarkan Parlimen.

“Mereka akan menyukarkannya, tetapi mereka akan menyokong bajet. Mereka mungkin bekerjasama dengan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim jika gagal memberi tekanan kepada Muhyiddin,” katanya.

James Chin.

Chin berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang nampaknya menyokong desakan untuk mengadakan pilihan raya kilat, masih mendapat sokongan ramai ahli Parlimen Umno kerana hubungan rapatnya dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Katanya, Najib tetap popular dalam kalangan akar umbi luar bandar.

“Najib adalah pesona. Dia tahu bagaimana untuk bergaul dengan orang luar bandar. Walaupun dituduh rasuah, mereka yang menemuinya cukup terpikat dengan cara dia melayani mereka,” katanya.

Chin berkata, dia bertanya kepada pemuda luar bandar adakah Najib memberi mereka wang untuk mendapatkan sokongan. “Mereka berkata tidak. Mereka menyokong ‘Bossku’.”

Katanya, Zahid juga tahu bagaimana untuk menawan akar umbi. “Sokongan akar umbi Melayu terhadap beliau di luar bandar juga kuat.”

Menurutnya, populariti dalam kalangan akar umbi memberi jaminan sokongan ahli Parlimen Umno kepada Zahid dan beliau mungkin menggunakan pengaruhnya untuk memberi tekanan kepada Muhyiddin supaya mengadakan pilihan raya umum.

Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia bersetuju dengan Chin, menyatakan menolak bajet akan membuatkan ahli Parlimen “kelihatan tidak baik kerana mereka akan menangguhkan gaji penjawat awam pada 2021”.

Beliau berkata, sekarang adalah “penantian” bagi rakyat sehingga Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada Anwar untuk menghadap.

Minggu lalu Anwar mengumumkan memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan dan Agong bersetuju bertemunya. Istana Negara mengesahkan perkara itu namun memaklumkan harus menunggu sehingga Agong keluar dari hospital.

Azizuddin berkata, Umno dan PAS berminat untuk pilihan raya awal dan ia adalah faktor mengapa beberapa ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar.