JAS temui sisa klinikal haiwan di Sungai Gong

Pencemaran Sungai Gong bulan lepas menyebabkan loji rawatan air berdekatan dihenti tugas. (Gambar Facebook)

RAWANG: Program Gotong Royong Membina [email protected] Gong di Rawang, Selangor yang dijalankan hari ini membawa kepada penemuan sisa klinikal di tebing sungai itu yang disyaki daripada sebuah klinik haiwan swasta berhampiran.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar yang menemui sisa itu semasa menyertai program berkenaan berkata, sisa klinikal itu bukan sahaja mencemarkan sungai malah boleh membawa risiko penyakit berjangkit kepada masyarakat setempat.

Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, iaitu mana-mana orang yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum 5 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

“JAS mengesyaki klinik berhampiran dengan tebing sungai ini dan saya mengarahkan JAS Selangor mengambil bahan bukti untuk dihantar ke Jabatan Kimia supaya siasatan dapat dilakukan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap pesalah,” katanya kepada media semasa Program Gotong Royong Membina [email protected] Gong, Rawang, Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang ketika ditemui dalam program itu berkata, gotong-royong hari ini melibatkan pembinaan denai sepanjang 1.4km secara manual untuk mengawal pencemaran sungai.

“Gotong-royong pembinaan denai hari ini melibatkan 250 peserta di kawasan rizab sungai akan membawa kebaikan, iatu mendekatkan masyarakat kepada sumber air dan bersama memantau ekosistem sungai.