Keadaan terkawal, kerajaan komited bendung Covid-19, kata perdana menteri

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membuka lebih banyak pusat tahanan dan kuarantin sementara bagi menempatkan pendatang asing yang ditahan dalam menangani kes penularan Covid-19 di Sabah.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan dan komitmen kerajaan untuk terus mengawal dan mengurus penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak Covid-19 pagi tadi berkata, situasi kini adalah terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan dalam penjara, kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) dan daripada kluster yang dikenal pasti dan terkawal.

“Kesemua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes positif dapat dikesan dan diasingkan,” katanya di Facebook beliau.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan membuka lebih banyak pusat tahanan dan kuarantin sementara (PTS) bagi menempatkan pendatang asing yang ditahan, sebelum proses pengusiran dilaksanakan bagi menangani kes penularan Covid-19 di Sabah.

Kerajaan juga menambah petugas KKM untuk menjalankan proses saringan ke atas pendatang asing yang memasuki negara secara haram, selain menambah anggota keselamatan untuk mengawal sempadan negara bagi mengekang kemasukan mereka, khususnya di negeri Sabah.

“Aset akan diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kesiapsiagaan negara berada pada tahap tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang pernah dilalui sebelum ini.

“Kita mempunyai 40 buah hospital dan 34 pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah untuk merawat kes positif Covid-19 dengan kapasiti 5,674 buah katil.

“Kadar penggunaan katil di hospital Covid-19 pada masa ini ialah 24%.

“Selain itu, fasiliti kesihatan juga kini mempunyai 437 buah katil ICU (Unit Rawatan Rapi) dan 1,505 alat bantu pernafasan,” katanya.

Perdana menteri turut menyeru rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 pada masa ini serta membudayakan kebiasaan baru, selain mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita, khususnya KKM dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik,” katanya.