Lantik kontraktor tak bertauliah punca masalah lif berterusan, kata persatuan

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berkata kerja penyelenggaraan lif mesti dilaksanakan oleh orang yang cukup layak, terlatih dan berdaftar dengan pihaknya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sikap sambil lewa Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dengan melantik kontraktor tidak bertauliah untuk menyelenggara lif dilihat antara punca masalah jentera itu tidak pernah berkesudahan.

Presiden Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia (Malea) Franky Ho Kai Satt berkata perkara itu didorong atas faktor mahu menjimatkan kos tanpa memikirkan keselamatan penduduk

“Sepatutnya pengurusan hanya boleh melantik kontraktor bertauliah yang disenaraikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Ada pemilik bangunan yang melantik firma penyelenggaraan lif yang tidak kompeten atau kontraktor tidak berdaftar semata-mata mahu menjimatkan kos malah ada penyelenggaraan dibuat hanya sekadar memenuhi syarat minimum,” katanya kepada Bernama.

Katanya, proses penyelenggaraan dan pemeriksaan tahap keselamatan lif perlu dibuat secara berkala mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi demi memastikan tahap mekanikal semua lif dalam keadaan sempurna sepanjang masa.

Bagaimanapun katanya, kesukaran mengutip yuran penyelenggaraan yang dihadapi JMB dan penduduk kediaman berstrata turut menjadi penyebab kepada masalah berkenaan.

“Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan kerja penyelenggaraan lif tidak dapat dilakukan,” katanya menambah pihaknya turut menganjurkan latihan teknikal yang berkaitan dengan kerja penyelenggaraan lif usaha sama dengan JKKP.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKP Omar Mat Piah berkata pemunya lif wajib memastikan jentera berada dalam keadaan selamat dan dapat digunakan pada bila-bila masa sesuai dengan tujuan pembinaannya mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Beliau berkata, jika peruntukan perundangan itu tidak dipatuhi, pengguna lif terdedah kepada risiko berlakunya kemalangan.

Justeru katanya, perkara ini perlu diambil perhatian oleh JMB dan MC bagi memastikan lif di bawah kendalian mereka selamat digunakan demi kepentingan orang awam.

“Semua kerja penyelenggaraan lif mesti dilaksanakan oleh orang yang cukup layak, terlatih dan berdaftar dengan JKKP yang dikenali sebagai Orang Yang Kompeten (OYK) daripada Firma Yang Kompeten (FYK),” katanya.

Mengulas lanjut, Omar berkata pemeriksaan menyeluruh ke atas keadaan fizikal dan tahap keselamatan lif perlu dijalankan oleh OYK yang berkhidmat dengan FYK, sekurang-kurangnya sekali pada setiap bulan.

“Lif perlu diselenggara oleh juruteknik daripada FYK sekurang-kurangnya sekali pada setiap bulan. Pemeriksaan ulangan akan dijalankan oleh OYK bersama pegawai JKKP pada setiap 15 bulan bagi memperbaharui Sijil Perakuan Kelayakan (CF) lif itu.

“Kelulusan reka bentuk perlu diperolehi terlebih dahulu daripada JKKP sebelum lif dipasang untuk memastikan jentera berada dalam keadaan yang selamat. Setelah itu, lif perlu menjalani ujian beban dan ujian fungsi keselamatan oleh OYK dengan disaksikan pegawai JKKP sebelum diberi CF untuk tempoh 15 bulan,” katanya.

Omar berkata tindakan seperti mengeluarkan notis larangan atau notis pembaikan, menyita atau mengambil tindakan mahkamah boleh dikenakan jika JKKP mendapati lif tidak selamat untuk digunakan.

Untuk rekod, sebanyak 70,005 lif telah berdaftar dengan JKKP bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak 6,783 lif tiada CF, tidak aktif dan rosak berbanding 6,663 pada 2019.

“Antara puncanya ialah kerana lif mengalami kerosakan serius, pemunya lif tidak mempunyai kontrak atau gagal menjelaskan bayaran perjanjian penyelenggaraan yang masih sah dengan firma penyelenggara yang diluluskan serta dalam proses pemeriksaan ulangan setelah tamat tempoh CF,” katanya.

Menurut Omar, sekiranya pemunya menggunakan lif tanpa CF yang sah, tindakan yang boleh diambil di bawah Akta Kilang dan Jentera seperti mengeluarkan notis melarang pengendalian lif tersebut, menyita dan mengambil tindakan kompaun atau pendakwaan menurut peruntukan undang-undang tersebut.

“Apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya manakala nilai kompaun tidak melebihi 50 peratus daripada amaun denda maksimum,” katanya.

Dilaporkan terdapat 11 kejadian berbahaya membabitkan lif awam yang disiasat JKKP bagi tempoh 2019 hingga Ogos tahun ini dengan 6 kes di Kuala Lumpur, 2 di Selangor dan 1 kes masing-masing di Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka.

Omar berkata faktor penjagaan dan penyelenggaraan memainkan peranan penting dalam menentukan jangka hayat sesebuah lif.