Pembeli-belah, penumpang bot, jemaah salat Jumaat diminta jalani saringan Covid-19

Labuan mencatatkan 1 kes baru Covid-19 Jumaat lepas, menjadikan jumlah kes di pulau bebas cukai itu 29 dengan sifar kematian.

LABUAN: Pembeli-belah di 2 tapak jualan pakaian terpakai (bundle), penumpang bot laju Menumbok-Labuan dan sekumpulan jemaah solat Jumaat di Labuan diminta menjalani saringan Covid-19 kerana individu yang didapati positif jangkitan virus itu pernah berada di lokasi sama.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, tapak jualan pakaian terpakai yang dimaksudkan ialah tapak Pesta Bundle Ujana Kewangan antara 17 sehingga 21 Sept dan tapak Pesta Bundle bersebelahan Hotel Dorsett Grand Labuan antara 23 hingga 26 Sept perlu menjalani saringan Covid-19 serta merta selepas seorang daripada penjual didapati positif jangkitan.

Turut diminta menjalani saringan segera adalah penumpang bot laju Menumbok- Labuan dan individu yang berada di ruang menunggu Terminal Jeti Menumbok pada 22 Sept dan mereka yang menunaikan solat Jumaat di Surau Nurul Islam Bandar Labuan (Masjid India) pada 25 Sept kerana seorang individu yang dijangkiti berada di tempat berkenaan, katanya hari ini.

Beliau berkata, pengumuman meminta individu yang pernah berada di tempat berkenaan menjalani saringan Covid-19 dikongsi dengan meluas dalam kalangan masyarakat Labuan dan kumpulan WhatsApp agensi kerajaan dan platform media sosial lain.

“Memandangkan kami mempunyai pesakit dari tapak jualan bundle dan seorang lagi pergi terminal jeti dan surau, kami mengingatkan mereka yang pernah berada di sana menjalani saringan Covid-19 dengan kadar segera,” katanya.

Labuan mencatatkan 1 kes baru Jumaat lepas, menjadikan jumlah kes di pulau bebas cukai itu 29 dengan sifar kematian.

Ismuni juga menggesa mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah supaya mematuhi sepenuhnya arahan itu dan mengamalkan penjarakan fizikal dengan anggota keluarga, termasuk duduk di bilik berasingan dan tidak menggunakan bilik air yang dikongsi dengan yang lain.

Beliau juga mendedahkan lebih daripada 8,000 sampel yang diambil sejak Sabtu lepas untuk saringan Covid-19, kebanyakannya daripada mereka yang baru kembali dari Sabah.