Terima kemasukan mahasiswa elak terkandas, kata GPMS

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata pihak IPT disaran mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dalam pengurusan mahasiswa di kampus termasuk saringan dan pengasingan megikut lokaliti asal pelajar.

PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan institut pengajian tinggi (IPT) menerima semua kemasukan mahasiswa yang tiba untuk pendaftaran bagi mengelak kemungkinan mereka terkandas kerana tidak dibenarkan masuk ke asrama.

Presidennya Alif Anas Md Noor berkata, bagi memastikan keadaan pada hari pendaftaran terkawal, pihak IPT disaran mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dalam pengurusan mahasiswa di kampus termasuk saringan dan pengasingan megikut lokaliti asal pelajar.

Persatuan pelajar itu juga mahu pihak IPT segera mengeluarkan makluman kepada semua mahasiswa masing-masing sama ada melalui emel atau media sosial rasmi mengenai perkara berkenaan dan sentiasa berkomunikasi sekiranya terdapat sebarang pindaan.

“GPMS khuatir perkara ini akan menjadi luar kawalan sekiranya semua pihak tidak bertenang dan berspekulasi. Semua pihak harus segera kembali kepada isu pokok yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak berkenaan.

“GPMS akui merasa amat terkesan dengan permasalahan dihadapi oleh mahasiswa yang tiba dan berkemungkinan terkandas kerana tidak dibenarkan masuk ke asrama kediaman dalam kampus mereka.

“Oleh demikian, GPMS mengesa pihak universiti, khususnya hal ehwal pelajar (HEP) dan pentadbir kediaman untuk bertindak segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam mencadangkan semua IPT menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar baharu dan lama bagi kemasukan ke kampus bulan ini.

Menerusi kenyataan semalam, KPT berkata semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakn secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.

Perkembangan terbaharu itu memberi tekanan kepada mahasiswa IPT kerana sebahagian besar mereka sudah mengeluarkan perbelanjaan besar bagi urusan pendaftaran termasuk kos perjalanan dari kampung ke kolej masing-masing.