Tidak praktikal adakan PRU15 dalam masa terdekat, kata Rais Yatim

Rais Yatim berkata, keutamaan hendaklah diberikan ke arah membantu rakyat yang menghadapi kesan penularan Covid-19.

JELEBU: Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berkata, adalah tidak sesuai pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat memandangkan negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kebimbangan rakyat dengan keadaan semasa penularan Covid-19 dan hal berkaitan ketika ini perlu diambil kira.

“Pilihan raya tak perlu diadakan sebab kita baru sahaja selesai pilihan raya… tetapi kalau tempoh pilihan raya belum habis 2 tahun dan kita nak buat lagi, saya fikir itu tidak praktikal dan rakyat ada sebab untuk marah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis permuafakatan dan menerima ahli baru PPBM Jelebu di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, soal menentukan calon perdana menteri juga tidak sesuai diputuskan ketika ini, sebaliknya keutamaan hendaklah ke arah membantu rakyat yang menghadapi kesan penularan Covid-19.

“Jadi kita ketepikan dulu, kita jangan berlumba-lumba ingin mendapatkan tempat sebagai PM, semua parti politik perlu bersatu membantu rakyat… bila wabak ini selesai, saya kira sesiapa pun boleh cuba untuk jadi PM,” katanya.

Terdahulu Rais, yang juga pengerusi PPBM Jelebu, menerima borang keahlian daripada 20 ahli Penggerak Komuniti Negara Jelebu yang diketuai pengerusinya, Tang Jay Soon yang juga bekas timbalan ketua c PKR Jelebu untuk menyertai parti itu.