Timbalan menteri alam sekitar dan air positif Covid-19

Menteri Alam Sekitar dan Air Dr Ahmad Masrizal Mohamad berkata, beliau didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian ke-2 Rabu lepas dan kini mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Dr Ahmad Masrizal Mohamad mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas ujian ke-2 dilakukan Rabu lepas dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Masrizal berkata, beliau tidak mempunyai sebarang gejala dan ujian pertama yang dilakukan pada 23 Sept lepas di Kota Kinabalu ketika kempen pilihan raya negeri Sabah menunjukkan keputusan negatif.

“Bagaimanapun selepas keputusan ke-2 positif, saya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada Khamis dan kini, alhamdulillah saya sihat.

“Sejak ujian pertama dilakukan, saya tiada sebarang tanda-tanda demam dan batuk. Cuma sebelum masuk pejabat Isnin lalu, saya mengambil inisiatif sendiri untuk buat ujian swap sekali lagi dan mendapati keputusannya positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti politik turut disahkan positif Covid-19 antaranya Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dan ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Muhammad Rafii.

Katanya, ketika menunggu keputusan ujian pertama dan ke-2, beliau menjalani kuarantin bersendirian di rumah.

“Saya mengharapkan agar kita semua tidak mengambil mudah ancaman Covid-19 ini. Jika ada peluang untuk buat ujian ke-2 atau ke=3 pergilah,” katanya.