Arab Saudi longgar sekatan Covid-19, umat Islam mula tunai umrah

Umat Islam berdoa mengelilingi Kaaba pada hari pertama umrah di Makkah. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Sekumpulan orang mengelilingi Kaabah yang terletak di Makkah, tempat paling suci dalam Islam pada Ahad susulan langkah Arab Saudi melonggarkan sekatan Covid-19 yang berkuat kuasa sepanjang beberapa bulan, lapor Al Jazeera.

Sebelum ini, negara tersebut mengambil langkah drastik untuk memberhentikan umrah, iaitu ibadah lebih kecil yang menarik jutaan umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun – pada awal Mac lepas untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Sejak kebanyakan negara melonggarkan sekatan masing-masing, kerajaan Saudi pada Ahad mula membenarkan maksimum 6,000 penziarah sehari untuk memasuki Masjidil Haram di Makkah.

Hanya warganegara Saudi dan pemastautin dibenarkan memasuki masjid itu pada pembukaan fasa pertama. Setiap penziarah akan diberi masa 3 jam untuk menunaikan umrah.

Dalam Masjidil Haram, yang terletaknya Kaabah, kerja-kerja nyah virus dan pembersihan dijalankan beberapa kali dalam sehari, menurut laporan itu lagi.

Penziarah yang mahu memasuki masjid tersebut untuk salat Jumaat atau menunaikan umrah perlu memohon untuk menempah masa dan tarikh melalui aplikasi atas talian yang dilancarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak kesesakan.

Menteri Haji negara itu berkata, setiap kumpulan 20 atau 25 penziarah akan diiringi oleh seorang pekerja kesihatan, sementara pasukan perubatan sentiasa bersedia untuk menangani situasi kecemasan.

Pembukaan fasa ke-2 di Masjidil Haram akan berkuat kuasa pada 18 Oktober, yang membenarkan maksimum 15,000 penziarah dan 40,000 orang untuk salat dalam kalangan pemastautin dan warganegara berdasarkan masa tempahan melalui aplikasi atas talian.

Pelancong Muslim yang berasal dari luar Arab Saudi akan dibenarkan untuk menunaikan umrah mulai 1 November ini, kata Kementerian Dalam Negeri.