Covid-19: Majlis Fatwa perhalusi SOP di masjid, surau esok

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan esok akan mengambil kira pelbagai pandangan mengenai isu SOP Covid-19 di masjid dan surau.

SHAH ALAM: Majlis Fatwa Kebangsaan akan bermesyuarat esok bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mesyuarat esok juga akan mengambil kira pelbagai pandangan yang dikemukakan mengenai isu berkenaan.

“Mesyuarat nanti bukan hanya akan membincangkan SOP di kawasan merah sahaja, tetapi di semua kawasan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan mengehadkan semula jumlah kehadiran jemaah di masjid dan surau berikutan peningkatan jangkitan Covid-19.

Sementara itu mengulas mengenai pergerakan pengikut Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) Zulkifli berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Majlis Agama Islam Johor yang memgharamkan fahaman berkenaan kerana bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Katanya, setakat ini tiada sebarang perancangan untuk mengadakan perbincangan dengan kumpulan berkenaan yang didakwa menular ke negeri lain.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap kumpulan berkenaan Zulkifli berkata, tindakan ke atas kumpulan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa majlis agama negeri masing-masing.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran KAFA peringkat kebangsaan 2020 di sini, hari ini.

Seramai 80 peserta berusia 7 hingga 12 tahun dari 10 negeri menyertai pertandingan itu yang julung kali diadakan dalam norma baru.

Melaka, Kedah, Sabah dan Sarawak bagaimanapun tidak menghantar wakil berikutan wabak Covid-19.