Kes Covid-19 UK meningkat mendadak, pecah rekod harian

Seorang anggota tentera mengendali pusat ujian saringan Covid-19 di Leicester. (Gambar AP)

LONDON: UK melaporkan 12,872 kes Covid-19 baru pada Sabtu, mencatatkan rekod harian tertinggi negara itu.

Kerajaan menyalahkan peningkatan kes secara mendadak itu ke atas faktor penangguhan laporan dan berkata, angka beberapa hari akan datang akan meliputi kes tambahan.

Laman web kerajaan berkata, masalah teknikal menyebabkan penangguhan dalam pemaparan kes Covid-19 yang baru.

“Ini bererti jumlah kes yang dilaporkan pada beberapa hari yang akan datang akan meliputi sebahagian kes tambahan bagi tempoh antara 24 Sept hingga 1 Okt, yang meningkatkan angka kes yang dilaporkan,” katanya.

Angka 12,872 kes harian yang dlaporkan itu digandakan daripada jumlah 6,968 yang dilaporkan pada Jumaat. Ia memecahkan rekod harian tertinggi sebelum ini, iaitu 7,143 kes yang dilaporkan pada Selasa.

Pada masa ini, UK memproses lebih 200,000 ujian saringan Covid-19 sehari berbanding kurang daripada 100,000 pada permulaan penularan wabak itu.

Tetapi isu masalah teknikal dijadikan bahan kritikan oleh pengkritik yang mendakwa kerajaan hilang kawalan ke atas penularan wabak berikutan kekurangan kapasiti ujian.

Bilangan kematian yang dicatatkan dalam tempoh 28 hari berikutan ujian positif Covid-19 berkurang kepada 49 pada Sabtu daripada 66 pada hari sebelumnya.