‘Malapetaka’ jika Sarawak buat pilihan raya, kata bekas menteri kesihatan

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad mengingatkan supaya pilihan raya tidak diadakan ketika berlaku peningkatan kes Covid-19.

PETALING JAYA: Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata “malapetaka” akan berlaku jika Sarawak mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Melalui ciapan di Twitternya Dzulkefly berkata, Malaysia berada di ambang jangkitan ke-3 Covid-19.

“Lagi 4 digit kes aktif, seperti pada April hingga Jun!” katanya merujuk kepada angka terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Merujuk kepada laporan berita yang memetik Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata pilihan raya negeri akan diadakan “pada bila-bila masa” mulai semalam, Dzulkefly berkata: “(Saya) benar-benar berharap dia tidak serius atau disalah petik.”

Dzulkefly, yang kini mengetuai pasukan petugas Covid-19 Selangor menambah: “Ahli politik, dengan cara ‘bi-partisan’, mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab dan mengurangkan malapetaka”.

Ucapan Abang Johari itu dibuat ketika jumlah jangkitan baharu dilaporkan meningkat. Tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak semasa berakhir pada Jun tahun depan.

Bekas pakar sistem dan polisi kesihatan Universiti Malaya Dr Khor Swee Kheng berkata, Malaysia tidak boleh mengadakan pilihan raya kecuali dapat memenuhi 3 kriteria: memastikan kementerian kesihatan mendapat sokongan yang secukupnya, dan menjaga keselamatan pengembara dan pengundi.

Khor berkata, ahli politik perlu bertindak secara bertanggungjawab ketika kempen dan kuarantin, dengan hukuman yang jelas bagi pelanggaran peraturan. “Jika tidak, semua cakap-cakap mengenai pilihan raya adalah tidak bertanggungjawab,” kata Khor.

KKM melaporkan 317 kes baharu Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di Malaysia setakat ini 12,088.

Individu yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas pilihan raya negeri pada 26 September, menjadi faktor peningkatan kes di semua 13 negeri.

Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kerajaan berikutan peningkatan itu, dengan protes mereka tertumpu pada kuarantin 14 hari bagi individu yang pulang dari Sabah dan keputusan tidak menguatkuasakan larangan perjalanan ke negeri itu walaupun berlaku peningkatan kes.