NUBE gesa kerajaan laksana moratorium keseluruhan 3 bulan lagi

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) J Solomon berkata moratorium bersasar yang diperkenalkan mulai bulan ini tidak menangani kesulitan kewangan dalam mengharungi pandemik Covid-19.

PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) menggesa bank segera melaksanakan semula moratorium keseluruhan sekurang-kurangnya 3 bulan lagi ke atas pinjaman bagi ahli kesatuan dan golongan lain yang berpendapatan rendah.

Setiausaha agungnya J Solomon berkata, ini kerana moratorium bersasar yang diperkenalkan mulai bulan ini tidak menangani kesulitan kewangan mereka dalam mengharungi pandemik Covid-19.

“Kerajaan harus segera memperoleh persetujuan bank untuk melaksanakan moratorium keseluruhan untuk sekurang-kuranganya 3 bulan bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah, khususnya B40 dan M40.

“Kemudahan sama harus juga diberikan kepada syarikat yang terus terkesan akibat kemelesetan ekonomi kerana Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ramai daripada mereka mempunyai anggota keluarga yang terkesan kerana hilang pekerjaan atau gaji dipotong, menyebabkan pendapatan isi keluarga merosot dan menambah kesulitan kewangan, khususnya kemampuan untuk membayar pinjaman bank.

“Situasi ini bukan sahaja melibatkan ahli NUBE tetapi ratusan ribu keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.

“Kehilangan pekerjaan atau pemotongan gaji walau seorang ahli keluarga menjejaskan pendapatan seluruh isi keluarga dan memberi tekanan tambahan terhadap kemampuan mereka untuk membayar pinjaman perumahan, kenderaan dan pinjaman peribadi oleh bank,” katanya.

Katahya, justeru ahli NUBE dan ratusan ribuan pekerja lain memerlukan moratorium keseluruhan kerana moratorium bersasar mengecualikan mereka daripada kemudahan itu hanya kerana mereka masih bekerja.

“Walaupun masih bekerja, mereka tetap dihimpit dengan pendapatan isi keluarga yang tidak dapat menampung keperluan asas. Justeru, mereka memerlukan pembelaan menerusi moratorium keseluruhan.

“Moratorium keseluruhan atas pinjaman bank ini tidak harus melibatkan sebarang caj tambahan seperti faedah terakru dan faedah kompaun,” katanya.

Soloman mendesak kerajaan dan bank bertindak segera kerana gelombang ke-2 Covid-19 dikhuatiri melanda Malaysia dengan peningkatan kes di negeri tertentu.

“Jika semakin memburuk, ia akan memaksa kerajaan melaksanakan semula langkah pencegahan drastik yang tentunya menambah kesulitan pekerja dan sektor perniagaan. Justeru, mereka harus dibela menerusi moratorium keseluruhan,” katanya.