Pembukaan sempadan Johor-Singapura sentiasa diberi keutamaan, kata Mustapa

Mustapa Mohamed (2 dari kanan) menyerahkan bantuan kepada Junaidah Hassan (kiri), ibu tunggal yang memiliki cahaya mata penyakit kronik ketika lawatan kemiskinan bandar di flat Larkin hari ini. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Perbincangan mengenai pembukaan sempadan Malaysia-Singapura sentiasa diberi keutamaan dan perhatian kerajaan pusat, meskipun negara kini sedang berdepan dengan peningkatan kes Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, kerajaan menyedari bahawa pandemik Covid-19 mendatangkan pelbagai risiko, bagaimanapun perlu ada keseimbangan antara menangani isu ekonomi dan kesihatan bagi memulihkan ekonomi.

“Kerajaan ambil maklum bahawa Johor terkesan dengan penutupan sempadan. Ini dibangkitkan beberapa kali oleh Menteri Besar Johor Hasni Mohammad. Perkara berkenaan sentiasa dibincangkan di peringkat pusat.

“Malah, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Isnin lalu membincangkan topik pelancongan, sebanyak 50% pelancong adalah dari Singapura,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke rumah pangsa Larkin di sini, hari ini.

Turut hadir pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor Mohd Solihan Badri.

Mustapa berkata, penutupan sempadan antara kedua-dua negara menyebabkan kemasukan warga Singapura ke Johor untuk melancong atau membeli-belah terhenti dan pada masa yang sama rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dapat berulang-alik.

“Apa pun kita semua berharap sempadan ini akan dibuka semula, tertakluk kepada keadaan kerana ada perkara perlu diberi perhatian di Malaysia dan Singapura sebelum dibuka sepenuhnya.

“Kita berharap akan tiba masanya… apabila sempadan dibuka walaupun tidak sepenuhnya, tetapi secara berperingkat, ini akan dapat membantu memulihkan ekonomi Johor,” katanya.