Adun DAP positif Covid-19

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku Lim Yi Wei positif Covid-19.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku Lim Yi Wei hari ini mengesahkan beliau positif Covid-19.

Lim berkata, beliau menyeru semua pihak yang mempunyai kontak rapat dengannya segera menjalani ujian saringan di klinik kesihatan berhampiran.

“Saya mohon maaf kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan, sahabat perjuangan dan semua yang terkesan walaupun semua langkah berjaga-jaga dipatuhi semasa berkempen dan pengasingan kendiri sejak hari pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebaik tiba dari Sabah pada 27 September lalu beliau sudah menjalani ujian saringan pertama di klia2 dan turut dipakaikan gelang merah jambu.

Menurutnya, sejak itu beliau sudah mengamalkan pengasingan kendiri di rumah.

“Pada 30 September, saya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Jaya untuk mengetahui keputusan saya. Keputusan ujian saringan pertama saya negatif dan saya dipanggil untuk menanggalkan gelang merah jambu saya keesokan harinya.

“Malangnya, saya mula mengalami gejala berkaitan Covid-19 pada hari tersebut. Berdasarkan saranan PKD, saya menjalankan ujian saringan ke-2 pada 2 Oktober dan sambung pengasingan kendiri sehingga saya dimaklumkan keputusannya daripada PKD pada hari ini,” katanya.

Lim berkata, pasukannya juga sudah mengamalkan pengasingan kendiri sejak hari pertama pulang dari Sabah dan turut menjalani saringan pertama yang mana keputusannya adalah negatif.

“Mereka juga akan menjalani ujian saringan buat kali ke-2 dalam waktu terdekat,” katanya.