Bahan buangan, sebatian organik disyaki punca utama pencemaran air

Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata 6 sampel tanah sudah diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, manakala Majlis Bandaraya Seremban atau Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan membersihkan sisa pukal di lokasi berkenaan hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menemui sejumlah bahan buangan dan sebatian organik tersisa di lokasi utama disyaki menjadi punca pencemaran di loji rawatan air (LRA) di Selangor.

Dalam kenyataan hari ini kementerian itu berkata, ketua setiausaha KASA, ketua pegawai eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar, pengarah Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan, polis dan Syarikat Air Selangor turun ke tapak berkenaan.

“Bau busuk bahan buangan yang ada hampir menyerupai bau yang menjadi punca LRA Sungai Semenyih henti tugas sejak semalam,” katanya.

Katanya, 6 sampel tanah sudah diambil JAS Negeri Sembilan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, manakala Majlis Bandaraya Seremban atau Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan membersihkan sisa pukal di lokasi berkenaan hari ini.

“Kawasan pembuangan sisa organik ini sudah dikawal rapi JAS Negeri Sembilan dan polis akan memantau kawasan ini.

“Sisa buangan haram yang dijumpai ini disyaki diuruskan syarikat tidak berdaftar dan siasatan polis, SPAN dan JAS akan merujuk kepada penemuan di kawasan ini sebagai sumber sekunder,” katanya.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran operasi 2 LRA dihentikan akibat insiden pencemaran.

Dua LRA itu ialah Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, semalam berkata, punca pencemaran dikesan di Sungai Batang Benar, iaitu kira-kira 30km dari LRA Sungai Semenyih.