Kes positif Covid-19 dikesan di Paradigm Mall

Proses pembersihan dijalankan di Paradigm Mall mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.

PETALING JAYA: Paradigm Mall memaklumkan kes positif Covid-19 dikesan di kompleks beli-belah itu yang membabitkan seorang kakitangan Brands Outlet.

Dalam kenyataan hari ini pusat beli-belah itu memaklumkan akan segera menjalankan pembersihan dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan.

Pihak pengurusan kompleks itu berkata, rakan sebilik staf berkenaan bukan kakitangan di kompleks itu, baru pulang dari Sabah dan didapati positif Covid-19.

Individu itu hanya pergi ke pusat beli-belah pada 2 Oktober lalu, di mana dia tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Dia memohon cuti keesokannya dan sejak itu dilaporkan tidak bekerja.

“Semua staf dan indivdiu yang berhubung secara langsung dengan staf itu sedang dikesan, dimaklumkan dan dinasihatkan segera kuarantin diri serta mendapatkan bantuan perubatan segera jika mula mempunyai gejala atau tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, Brands Outlet dalam kenyataan berkata individu terbabit kini sedang mendapatkan rawatan.

Brands Outlet ditutup sementara untuk mengurangkan risiko jangkitan, dan semua staf diminta menjalani pemeriksaan serta kuarantin 14 hari sebagai langkah pencegahan.

Brands Outlet memohon maaf atas kesulitan itu dan memaklumkan sebarang maklumat lanjut mengenai Covid-19 akan dikongsi di Facebooknya.