Menteri agama positif Covid-19

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al Bakri.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengesahkan beliau positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan.

Beliau bagaimanapun berkata, kesihatannya berada dalam keadaan baik ketika ini.

“Saya menyeru orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan segera.

“Saya berdoa semoga Allah sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19. Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, Zulkifli turut memohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan darinya, namun menegaskan program yang diatur akan tetap diteruskan.

“Insya-Allah, bantuan Mus’adah Khas Siswa Siri 2 yang saya janjikan semalam kepada siswa yang terkandas, tetap akan diteruskan oleh agensi agama bawah saya.

“Program Musa’adah Covid-19 yang diaturkan, akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia. Masih ramai memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh getir ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seorang individu yang menghadiri mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober lalu disahkan postif Covid-19.

“Memang beliau tidak mengalami sebarang gejala jangkitan Covid-19. Oleh yang demikian, kini beliau dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif Covid-19.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan Covid-19. Kontak rapat yang dikenalpasti sudah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham bagaimanapun tidak menyatakan siapakah individu yang hadir ke mesyuarat pada 3 Oktober itu.