Najib jalani kuarantin 14 hari, perbicaraan 1MDB ditangguh

Najib Razak menghadapi 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.28 bilion dalam kes terkini 1MDB.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1MDB Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini akan disambung semula pada 19 Oktober selepas mahkamah diberitahu bekas perdana menteri itu sedang menjalani kuarantin susulan perjalanannya dari Sabah.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa Najib akan tamat kuarantin pada 12 Oktober.

“Beliau mengambil ujian (Covid-19) pada 27 September di Sabah sebelum pulang ke sini, dan ia negatif.

“Beliau mengikuti kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, mengatakan sekiranya ada yang berhubung rapat dengan pesakit, mereka perlu menjalani kuarantin 14 hari,” katanya.

Shafee berkata, Najib sebelum ini mempunyai kontak rapat dengan calon Barisan Nasional untuk kerusi DUN Pitas, Sufian Abdul Karim.

Terdahulu, menerusi Facebook, Najib berkata beliau memilih untuk menjalani kuarantin selama 14 hari walaupun Kementerian Kesihatan hanya mengarahkannya untuk dikuarantin selama 3 hari kerana keputusan ujiannya adalah negatif.

Sequerah membenarkan permohonan pembela untuk menangguhkan perbicaraan sehingga 19 Oktober.

“Saya rasa memandangkan keadaan sekarang, ia sedikit berisiko. Sudah tentu, boleh dikatakan tidak ada apa-apa, tetapi pada masa sama, misalnya, pada hari ke-13, gejala mula menunjukkan tanda-tanda.

“Saya tunaikan permintaan anda,” katanya.

Najib dijangka kembali ke mahkamah untuk perbicaraan laporan audit 1MDB yang tertangguh itu, dengan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy dituduh bersubahat dengannya, minggu depan.

Untuk perbicaraan 1MDB, bekas ketua pengarah eksekutif syarikat Mohd Hazem Abdul Rahman akan meneruskan keterangannya pada 19 Oktober apabila kes didengar semula.

Najib menghadapi 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.