Pemuda Umno KL desak kerajaan henti langkah gabung UEM Sunrise, Eco World

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamdi berkata penggabungan itu tidak seharusnya berlaku dan UEM Sunrise harus menjelaskan mengapa syarikat induk UEM Group memilih Eco World. 

PETALING JAYA: Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mendesak kerajaan menghentikan langkah penggabungan antara syarikat hartanah UEM Sunrise dengan Eco World Development Group Bhd, sebaliknya membuat penggabungan melalui konsep terbuka.

Ketuanya Mohamed Nizham Abdullah Hamdi berkata, pihaknya percaya penggabungan itu tidak seharusnya berlaku dan UEM Sunrise harus menjelaskan mengapa syarikat induk UEM Group memilih Eco World.

“Kami percaya UEM Sunrise harus membuat penggabungan ini melalui konsep terbuka. Kami beranggapan mungkin UEM sudah melakukannya melalui konsep terbuka. Jadi, kami ingin mengetahui berapa banyak syarikat yang sudah mereka bincangkan dan siapa syarikat tersebut?

“Kami juga ingin tahu apakah justifikasi UEM untuk akhirnya bergabung dengan Eco World? UEM mempunyai bank tanah besar dan sebahagian besar bank tanah ini tertumpu di kawasan Bumiputera. Adakah kepentingan ini masih akan dilindungi,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, UEM Sunrise memaklumkan menerima surat cadangan daripada syarikat induk, UEM Group Berhad, mencadangkan ia bergabung dengan Eco World Development Group Bhd. UEM Group merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.

Dalam surat itu, UEM Group menjangkakan suatu keputusan mengenai cadangan itu menjelang 30 Oktober.

Sementara itu, UEM Group berkata cadangan penggabungan dijangka membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia, dengan unjuran nilai pembangunan kasar RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 17,000 ribu ekar dalam negara.

Seandainya semua pihak bersetuju dengan cadangan penggabungan ini, UEM Group berkata ia akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar, dengan pemilikan ekuiti sebanyak 43.0%, manakala pemegang saham Eco World akan memiliki 24.2% kepentingan ekuiti.

Selain itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan secara bersama akan memiliki pegangan ekuiti melebihi 50%, dan UEM Sunrise akan mengekalkan status penyenaraian di Bursa Malaysia.

Nizham berkata, pihaknya masih ragu-ragu mengenai agenda penggabungan itu, selepas mengetahuinya melalui laporan berita yang menyatakan pasukan pengurusan Eco World akan menjadi pengurusan tertinggi bagi syarikat tujuan khas (SPV) ini, apabila penggabungan selesai.

“Perkara lain yang membuat kita tertanya-tanya bagaimana penggabungan ini akan memberi manfaat kepada Khazanah dan akhirnya memenuhi kepentingan Kementerian Kewangan dan rakyat?

“Dengan Khazanah hanya memiliki 43% saham daripada penggabungan ini, sepertinya UEM Sunrise berada di pihak yang rugi. UEM akan mengalami banyak kerugian berbanding Eco World,” katanya.

Malah, menurutnya objektif penggabungan itu hanya untuk menyelamatkan Eco World, memandangkan mereka berada dalam prestasi buruk dengan begitu banyak projek tidak berjalan dengan baik dan kini menggunakan kerajaan untuk menyelamatkan mereka.

Nizham pada September tahun lalu, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pernah membangkitkan isu sama, yang ketika ini katanya jika ia berlaku akan mencalarkan kepentingan Bumiputera dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.

“Pada 2019, saya mempersoalkan pentadbiran PH mengenai khabar angin penggabungan antara UEM Sunrise dengan Eco World. Kami percaya ini adalah cadangan penggabungan yang tidak jelas apatah lagi ia akan mengurangkan kepentingan Bumiputera dalam syarikat GLC.

“Selepas itu, kami tidak dengar lagi hal penggabungan tersebut dan kami yakin ia dihentikan. Malangnya, penggabungan ini kembali menjadi topik perbincangan sejak beberapa hari lalu,” katanya.