Rela berkorban masa, tenaga demi lindungi spesies penyu terancam

Penyelia pusat pemuliharaan penyu, Hishamudin berkata antara tugas yang paling mencabar adalah untuk memastikan kedudukan telur penyu diletakkan ke tempat penetasan sama seperti sewaktu dikutip di sarang. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Meskipun berjalan hampir 3 kilometer di pesisiran pantai dan mendaki bukit hampir 30 minit untuk mengutip telur penyu, Hishamudin Abd Manap tidak pernah patah semangat dalam melaksanakan tugasnya demi memelihara spesies yang semakin diancam kepupusan itu.

Hishamudin, 49, atau mesra dipanggil Along yang bekerja sebagai penyelia sambilan di pusat pemuliharaan dan penetasan penyu di sebuah resort di sini berkata tugasnya itu dilaksanakan sebaik mungkin atas faktor tanggungjawab menjaga hidupan yang sering mendapat perhatian ramai itu.

“Along dah lama mengendalikan penyu ini hampir 10 tahun kerana minat mendalam terhadap hidupan laut, Along sedar kalau populasinya tidak dilindungi ia mungkin berdepan kepupusan,” katanya.

Menceritakan antara perkara yang paling mencabar dalam melakukan tugasnya, beliau berkata adalah penting bagi memastikan kedudukan dan susunan telur penyu untuk diletakkan ke tempat penetasan penyu sama seperti sewaktu dikutip di sarang.

Katanya, bagi mengelakkan kekeliruan, setiap telur akan ditanda dengan pensel mengenai kedudukan asalnya dan dikutip dengan teliti dan berhati-hati.

“Telur penyu ini sensitif, bila ibunya bertelur dan jatuh ke pasir, kepala anak penyu secara automatiknya menuju atas permukaan, itu sebabnya penting tidak dialihkan kedudukannya.

“Penyu akan naik sebanyak 4 kali untuk semusim yang kali pertama akan dapat sekitar 150 biji telur, kemudian ia akan turun ke laut dan naik semula ke pantai 10 hari kemudian untuk bertelur, jumlah telur akan sedikit berkurang dan begitulah seterusnya,” katanya.

Bapa kepada 8 anak itu berkata musim pengutipan telur ini dilakukan pada Julai ke November dan biasanya akan memperoleh 7 hingga 8 sarang selain akan dikutip sekitar pukul 1 hingga 3 pagi memandangkan waktu itu penyu akan bertelur.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang melakukan aktiviti itu perlu mendapatkan lesen Kebenaran Menjalankan Pemantauan Pendaratan Dan Mengutip Telur Penyu terlebih dahulu daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Di negeri ini, hanya Along dan seorang lagi rakan sahaja mempunyai lesen itu, jadi orang ramai tak boleh sesuka hati nak kutip, Along juga telah menjalani kursus pemantauan pendaratan dan pengurusan penetasan penyu untuk tujuan itu,” katanya.

Anak jati Negeri Sembilan ini berkata telur-telur itu akan dibawa ke resortnya yang menjalankan pusat pemuliharaan dan penetasan penyu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) untuk dieramkan.

“Di situ memang kita jaga, kita eramkan dahulu telur berkenaan, bila menetas kita letakkan di dalam kolam, tujuannya untuk menambah bilangan penyu di pantai negeri ini terutama Pantai Tanjung Gemuk, Port Dickson dan biasanya akan dilepaskan apabila sudah besar sikit, dalam umur 2 atau 3 bulan kita akan lepaskan ke pantai,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip berkata sepanjang tahun ini, sejumlah 170 ekor penyu telah dilepaskan daripada spesies penyu karah di perairan pantai Negeri Sembilan.

“Ada 2 spesies penyu di negeri ni selain penyu karah, kita ada juga penyu agar yang lokasi pendaratannya paling popular ialah di Tanjung Tuan, Port Dickson dan beberapa lokasi lain,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak mengganggu haiwan marin terancam berkenaan dan tidak mengambil telurnya kerana penyu dilindungi mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Unit Penyelidikan Penyu (Seatru), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Mohd Uzair Rusli berkata adalah penting untuk menyelamatkan spesies itu bagi memelihara keseimbangan ekosistem lautan terutama kepada sektor perikanan negara.

Beliau berkata terdapat 4 jenis penyu di negara ini iaitu penyu belimbing, karah, agar serta lipas dan setiap jenis penyu itu mempunyai peranan berbeza yang penting kepada ekologi lautan.

“Misalnya, penyu belimbing berfungsi untuk mengawal populasi obor-obor, ketiadaan penyu itu menyebabkan populasi obor-obor meningkat dengan mendadak dan menyebabkan pengurangan stok ikan, obor-obor itu akan memakan telur-telur ikan dan memberi kesan kepada bekalan ikan.

“Penyu agar pula penting bagi memelihara kesihatan tempat pemuliharaan ikan iaitu rumput laut yang berfungsi sebagai tempat anak-anak ikan berlindung,” katanya.

Jelasnya, penyu karah berfungsi memakan tapak sulaiman mahkota berduri (crown of thorns) yang biasa didapati dalam ekosistem terumbu karang.

“Ketiadaan penyu karah membolehkan tapak sulaiman itu membiak lebih agresif lalu menguasai ekosistem terumbu karang yang juga menyediakan makanan kepada ikan,” katanya.