Zatiah, bakat seninya senilai mutiara

‘Bouquet’ hadiah hasil tangan Zatiah.

Jari-jemarinya berseni. Berilah apa sahaja bahan dan suruhlah dia gubahkan, semuanya pasti menjadi. Bakat semulajadinya kemudian dijadikan hobi.

Zatiah Binti Bahrun, 51 tahun, anak kelahiran Pulau Indah, Pelabuhan Klang ini meminati seni kraf tangan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Zatiah Bahrun, wanita yang kaya dengan bakat seni.

“Dari kecil lagi, saya suka pada sesuatu yang cantik dan berseni. Kalau di sekolah untuk mata pelajaran lukisan memang selalu dapat nombor 1. Kemudian, saya suka masuk apa saja pertandingan yang dianjurkan di kampung.

“Masa saya kahwin dulu pun, hantaran saya buat sendiri. Bermula dari situlah hobi menggubah berkembang sedikit demi sedikit sehinggalah sekarang,” jelasnya.

Selepas berkahwin, Zatiah tidak duduk diam. Ada sahaja yang dilakukan suri rumah ini untuk mengisi masa lapangnya.

‘Bouquet’ hadiahnya sering mendapat tempahan dari kenalan dan pelanggannya.

“Bila ada masa terluang, saya akan menggubah bunga atau barang-barang kraf untuk hiasan. Sekarang minat lebih kepada ‘bouquet’ hadiah. Ramai yang tempah untuk hari jadi atau acara konvokesyen sekolah. Saya jual pada harga yang sangat berpatutan jadi pada yang suka akan menempah lagi untuk acara lain pula.

“Itulah, orang cakap dari hobi menjadi duit. Alhamdulillah, bakat yang dikurniakan bila kita usahakan dengan bersungguh boleh memberi pendapatan kepada kita. Yang penting minat dan jangan berputus asa,” katanya lagi.

Menurut Zatiah, dia tidak pernah menghadiri mana-mana kelas khusus untuk menghasilkan barangan kraf dan jambangan hadiah ini, segalanya dipelajari dari media sosial.

Antara hasil seni grafik yang baru sahaja diceburinya.

Sudah dikatakan orang seni, Zatiah terus mengembangkan bakatnya dalam bidang grafik pula namun, ‘bouquet’ hadiah masih diteruskan bila tempahan dibuka.

Poster Hari Kemerdekaan yang dihasilkan baru-baru ini.

“Sekarang saya sedang belajar membuat video muzik pendek dan digital art dalam kelas rekaan Junikakufi by M (bersama guru kufi berpengalaman). Kelas atas talian ini diajar oleh Cikgu Juju (Junika Design Academy) yang telah berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang grafik.

“Saya masuk kelas ini sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Jadi, masih baru lagi dan banyak yang perlu dipelajari. In sha Allah ada rezeki, saya akan kembangkan hobi ini bersama yang lain pula,” jelas Zatiah.

Antara ‘bouquet’ hadiah hasil tangan Zatiah.

Selain hobi ‘bouquet’ hadiah, membuat kraf tangan dan melukis di aplikasi, Zatiah juga gemar memasak. Pelbagai juadah enak sering dihidangkan kepada keluarga.

Bermula dengan membuat kuih, sekadar suka-suka untuk jamuan bersama keluarga, kemudian dikongsi bersama jiran-jiran buat merasa. Selepas itu, mulalah ada yang berminat dan membuat tempahan bila ada acara atau majlis keraian.

“Bila jiran-jiran dah merasa, mulalah mereka membuat tempahan. Memang tak menang tangan dibuatnya. Ramai pula kata sedap maka dari mulut ke mulut hobi memasak terus menjadi pendapatan. Alhamdulillah semuanya rezeki dari Allah. Saya terima semuanya dengan penuh rasa syukur.

“Secara jujurnya, saya lebih seronok membuat ‘bouquet’ hadiah ini. Banyak idea dapat diluahkan dalam satu jambangan dan bila melihat orang yang menerimanya gembira, saya turut merasa gembira,” ujar ibu kepada empat orang putera ini.

Kepada mereka yang ingin menceburi hobi ini, Zatiah menasihatkan agar jangan takut untuk meluahkan bakat yang ada. Lakukan sehingga terhasil dan sentiasa yakin atas bakat yang diberikan.

Minat seninya diteruskan kepada ‘digital art’ pula .

“Sekarang ini peluang belajar sangat mudah, semuanya di hujung jari. Ambillah kesempatan ini dan kembangkan bakat yang ada. Jika ada mana-mana pertandingan, sertailah walaupun hanya pertandingan dalam komuniti sahaja. Hobi juga boleh menjadi wang jika kita pandai mengusahakannya.” akhiri Zatiah memberi semangat kepada semua.

Kepada mereka yang ingin membuat tempahan ‘bouquet’ hadiah dan rekaan poster bolehlah menghubungi Whatsapps Zatiah di 017-6365480 atau layari Facebook Zatiah Bahrun. Beliau menerima tempahan dari kawasan berhampiran Klang dan Puncak Alam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]