
KUALA LUMPUR: Pusat beli-belah The Gardens Mall (TGM) dan Mid Valley Megamall (MVM) menjalankan usaha sanitasi dan nyahkuman di kawasan umum serta 3 outlet selepas seorang pekerja penyewanya disahkan positif Covid-19.
Ketika mengesahkannya hari ini, pihak pengurusan TGM dan MVM berkata kes tersebut membabitkan pekerja London Sales Cosmetics Sdn Bhd (LSC), syarikat yang menguruskan Origani dan Élévatione Time Stops di TGM dan Surreal by Élévatione Time Stops di MVM.
Pekerja berkenaan memaklumkan pihak pengurusan di LSC pada 9 Okt bahawa salah seorang ahli keluarganya terdedah kepada virus berkenaan.
“Beliau bertindak mengasingkan dirinya secara kuarantin kendiri dan langkah-langkah telah diambil bagi membolehkannya menjalani ujian Covid-19 yang disahkan positif pada 10 Okt. Beliau bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang gejala-gejala Covid-19,” kata TGM dan MVM dalam kenyataan.
Pihak pengurusan TGM dan MVM dimaklumkan mengenai keputusan ujian tersebut pada hari ini dan 3 outlet berkenaan diarah tutup sehingga notis selanjutnya.
Sejurus pengesahan kes tersebut, Kementerian Kesihatan dimaklumkan dan disusuli dengan langkah pengesanan kontak.
“Usaha sanitasi dan nyahkuman di tiga outlet di bawah LSC serta kawasan umum di kedua-dua pusat beli-belah itu masih dijalankan,” kata kenyataan itu.
Pihak pengurusan TGM dan MVM turut memberi jaminan kepada pelanggan, penyewa serta pengunjung kesihatan dan keselamatan mereka diutamakan.
“Kami melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi memastikan tahap kebersihan yang menyeluruh sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan di kedua-dua pusat beli-belah itu. Kami juga akan terus memantau rapat keadaan dan bekerjasama dengan semua pihak berwajib serta akan memaklumkan perkembangan sewajarnya,” katanya.