RM40 bilion cukai kastam terjejas jika sempadan Malaysia-Singapura terus tutup

Hasni Mohamad di sambutan Hari Pemantauan Air Sedunia di Pasir Gudang hari ini. Beliau hari ini memberi amaran lebih RM40 bilion cukai kastam akan terjejas sekiranya sempadan terus ditutup.

JOHOR BAHRU: Johor memberi amaran lebih RM40 bilion cukai kastam yang dipungut di pintu masuk Malaysia-Singapura akan terjejas sekiranya penutupan sempadan berterusan.

Mendesak kerajaan memutuskan segera hal pembukaan sempadan, Menteri Besar Hasni Mohammad mengingatkan Putrajaya 50% daripada cukai kastam dipungut di Tambak Johor dan Linkedua, pintu masuk paling sibuk di dunia.

“Ia merupakan sumbangan besar daripada hasil cukai kastam. Apabila kita tidak dapat membuka sempadan, saya yakin dan percaya ia menjejaskan hasil cukai kastam,” kataya kepada pemberita di sebuah pameran antarabangsa Asia hari ini.

Selain kesan pada rakyat Johor yang tidak bekerja di Singapura, Hasni juga mahu Putrajaya sedar akan kesan langsung penutupan sempadan pada ekonomi negerinya.

Beliau berkata sebuah kolej antarabangsa menyatakan ia mungkin tidak dapat meneruskan operasi di Johor. Turut terkesan pusat perubatan yang terbabit dalam program pelancongan kesihatan.

“Pada 19 Okt ini satu pembentangan, bukan sahaja bagi keperluan membuka sempadan dari sudut mereka yang bekerja, tetapi melihat kesan pelaburan yang ada di Johor dan yang berhasrat masuk ke Johor.

“Satu pembentangan kepada kerajaan persekutuan akan dibuat pada Majlis Tindakan Ekonomi dan akhirnya kepada perdana menteri,” katanya.

Dalam majlis berasingan di Pasir Gudang, Hasni menegaskan Johor memerlukan perubahan paradigma dalam daya usaha negeri itu menguruskan sumber air.

Katanya, Johor bakal menarik lebih ramai penduduk di masa hadapan, maka permintaan terhadap air akan meningkat drastik dalam dekad seterusnya.

Selain itu, usaha kerajaan negeri menjadikan Johor pembekal makanan kepada Singapura dan negara Asia Barat memerlukan lebih banyak sumber air digunakan.

“Ketiga, hubungan Johor dan Singapura amat melibatkan air serta sumber air, sebagai wacana dan perkara rundingan strategik, oleh itu kerajaan negeri amat memerlukan perubahan paradigma berkenaan daya usaha kita mengurus air,” katanya di majlis sempena Hari Pemantauan Air Sedunia.