Covid-19: KKM galak majikan saring pekerja

Kementerian Kesihatan menggalakkan majikan melakukan ujian Covid-19 terhadap pekerja terutama bagi sektor yang melibatkan banyak interaksi dengan masyarakat.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan majikan melaksanakan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja dari semasa ke semasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia terutama bagi sektor yang melibatkan banyak interaksi dengan masyarakat.

“Petugas kesihatan barisan hadapan misalnya, sememangnya KKM dan agensi berkaitan menjalankan saringan tempat kerja dari semasa ke semasa, selain saringan bagi petugas dikenalpasti sebagai kontak rapat,” katanya hari ini.

Beliau mengulas adakah keperluan majikan melakukan saringan kepada pekerja susulan beberapa kes melibatkan pekerja di pusat membeli belah positif Covid-19.

Sementara itu, mengulas jumlah kakitangan dimobilisasi ke Sabah, Noor Hisham berkata secara keseluruhannya setakat ini melibatkan 522 anggota pelbagai kategori.

“Skim perkhidmatan yang digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu, ini sama ada dalaman Sabah atau dari negeri lain.

“Kita bakal menghantar 11 orang pakar terdiri daripada 3 pakar kesihatan awam, 8 pakar perubatan dan beberapa orang pegawai perubatan lagi,” katanya.

Beliau turut menyeru penglibatan lebih ramai sukarelawan perubatan dan kesihatan untuk membantu KKM menangani gelombang ke-3 Covid-19.