Kes naik mendadak sebab PKPB di Selangor, KL, Putrajaya, kata KP Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerajaan tidak boleh menunggu kawasan zon kuning bertukar merah baru hendak melaksanakan PKPB atau PKPD.

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilaksanakan kerana jumlah kes Covid-19 meningkat mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, di Selangor wabak itu menular sehingga ke seluruh negeri kecuali Sabak Bernam.

“Situasi pandemik di seluruh Sabah dan seluruh Lembah Klang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya waktu ini menyaksikan kes peningkatan jangkitan yang agak mendadak berbanding sebelum ini.

“Bagi Selangor dan Kuala Lumpur walaupun bilangan kes direkodkan setiap hari kurang 100 kes, tetapi ia secara konsisten merekodkan kes baharu setiap hari dan mula merebak ke semua daerah kecuali Sabak Bernam,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya berhubung tindakan drastik pelaksanaan PKPB di Lembah Klang.

Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu kawasan zon kuning bertukar merah, baru hendak melaksanakan PKPB atau PKPD.

“Apa yang penting untuk kita faham penilaian risiko sama ada teruk atau tidak bergantung kepada sesuatu kawasan bukan hanya bergantung atau berlandaskan bilangan kes positif seharian tetapi melihat corak penularan jangkitan dalam negeri itu.

“Kes-kes baharu berselerak di Selangor dan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya, ini bermakna penularan tidak lagi dapat dibendung. Oleh itu, pendekatan terbaik memutuskan rantaian penularan jangkitan dengan melaksanakan PKPB di seluruh negeri supaya jangkitan dapat dibendung, ini tindakan proaktif dan berkesan sebelum ia menular ke seluruh negeri dan negara,” katanya.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diletakkan bawah PKPB bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, sambil memaklumkan perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan sepanjang PKPB itu.

Menteri Besar Amirudin Shari bagaimanapun dalam maklum balasnya menyifatkan tindakan kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor sebagai mengejutkan.

Beliau berkata, ini kerana keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling mempunyai bilangan kes membimbangkan.