Hong Kong tahan 8 lagi aktivis berhubung protes anti kerajaan

Hong Kong tahan 8 lagi aktivis berhubung protes anti kerajaan

Polis Hong Kong tidak mendedahkan identiti 8 individu ditahan itu tetapi mendedahkan lingkungan umur mereka antara 24 hingga 64 tahun.

Bekas aktivis veteran Leung Kwok-hung, yang dikenali sebagai Long Hair antara yang ditahan. (Gambar AFP)
HONG KONG:
Polis Hong Kong menahan lapan lagi aktivis pada Selasa berhubung protes anti kerajaan tahun lalu, langkah terbaru dalam penindasan terhadap pembangkang di bandar itu.

Polis tidak mendedahkan identiti mereka yang ditahan, hanya memaklumkan lingkungan umur mereka antara 24 hingga 64 tahun.

Media tempatan melaporkan, bekas Ahli Parlimen pro demokrasi dan aktivis kanan Leung Kwok-hung, yang lebih dikenali sebagai “Long Hair”, turut ditahan.

Penahanan itu sehari selepas lapan orang berusia 16 hingga 34 ditahan, termasuk tiga disyaki melanggar undang-undang keselamatan negara berhubung demonstrasi di kampus universiti bulan lalu.

Beijing melaksanakan undang-undang berkenaan terhadap bandar paling bebas dalam negara itu pada Jun, bertujuan menutup ruang pertahanan yang didedahkan dalam protes anti kerajaan dan anti China yang berlangsung beberapa bulan tahun lalu.

Undang-undang itu menghukum perbuatan yang ditakrifkan sebagai pemisahan, subversif, keganasan dan persubahatan dengan kuasa asing oleh Beijing dan boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.

Ahli politik pembangkang dan kerajaan Barat khuatir undang-undang itu akan digunakan untuk mengekang suara bantahan dan menghakis kebebasan yang diberikan kepada bekas tanah jajahan British itu semasa penyerahannya kepada China pada 1997.

Pada Isnin, Amerika Syarikat mengumumkan mengenakan sekatan terhadap China untuk menghukum pelaksanaan undang-undang berkenaan di Hong Kong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.