
Sepuluh pesalah itu bersama dua kanak-kanak bawah umur ditahan pengawal pantai China pada 23 Ogos semasa dalam pelayaran ke Taiwan, yang membuka pintu kepada penduduk Hong Kong dalam pada pihak berkuasa wilayah bekas jajahan British itu semakin bertindak tegas terhadap penentang, lapor AFP.
Menurut Reuters, kesemuanya berdepan tuduhan berkaitan protes antikerajaan di Hong Kong.
Mahkamah Rakyat daerah Yantian Shenzhen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda 20,000 yuan terhadap Tang Kai-yin serta dua tahun untuk Quinn Moon dengan denda 15,000 yuan kerana menjadi dalang usaha melintas sempadan itu.
Lapan tertuduh lain dipenjara tujuh bulan dan denda 10,000 yuan kerana cuba melintasi sempadan secara haram.
Sementara itu, dua pesalah bawah umur dihantar pulang ke Hong Kong selepas turut mengaku bersalah.
Taiwan yang mempunyai sistem pentadbirannya sendiri menjadi tempat popular untuk aktivis prodemokrasi Hong Kong melarikan diri sejak Beijing meningkatkan undang-undang keselamatan di bandar itu, Jun lalu, yang dilihat sebagai usaha menyekat kebebasan.