Tunjuk perasaan anti-kerajaan bertukar ganas di Bangkok
Penunjuk perasaan mula bertukar ganas dengan membaling botol air dan batu ke arah polis.
BANGKOK: Tunjuk perasaan anti-kerajaan di luar kem tentera bertukar ganas apabila polis menggunakan peluru getah, gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan kumpulan penentang itu pada Ahad malam.
Penunjuk perasaan anti-kerajaan pada mulanya berkumpul di Monumen “Victory” sebelum bergerak ke kawasan Regimen Infantri Pertama di Jalan Vibhavadi Rangsit.
Penunjuk perasaan yang dikenali sebagai “Free Youth Movement” itu menyasarkan kediaman Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang terletak di Regimen Infantri Pertama itu.
Penunjuk perasaan mula bertukar ganas dengan membaling botol air dan batu ke arah polis, walaupun ada yang berusaha meredakan ketegangan.
Apabila ketegangan meningkat, penunjuk perasaan mula bertembung dengan polis.
Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan kumpulan itu. Bunyi letupan kuat juga kedengaran, dipercayai daripada bom buatan sendiri dan juga mercun.
Saksi berkata, peluru getah digunakan terhadap penunjuk perasaan yang enggan bersurai dan membaling objek ke arah polis.
Sehingga kini, tiada laporan jumlah kecederaan. Namun, pegawai perubatan di tempat kejadian berkata, sekurang-kurangnya tiga cedera akibat terkena gas pemedih mata.
Pada 9.35 malam (waktu tempatan), penganjur memuat naik catatan di media sosial meminta penunjuk perasaan berundur (sementara) kerana polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Sehingga pertengahan Julai tahun lalu, penunjuk perasaan anti-kerajaan berkumpul di Bangkok dan bandar lain bagi mendesak perubahan politik, termasuk peletakan jawatan perdana menteri, pembubaran Parlimen dan pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.