
BEIJING: China melaporkan sembilan kes penularan tempatan Covid-19 semalam, kes harian tertinggi sejak akhir bulan lalu, dengan sebuah bandar di sempadan utara negara itu melaksanakan sekatan pergerakan bagi membendung jangkitan.
Data Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC) China menunjukkan dua daripada sembilan kes penularan tempatan itu dikesan di wilayah utara Inner Mongolia.
Semalam, bandar Erenhot di wilayah autonomi khas Inner Mongolia, yang bersebelahan Mongolia, menasihatkan 76,000 penduduknya tidak keluar rumah, kecuali untuk perkara mustahak.
Ia melaporkan keseluruhan empat kes penularan tempatan setakat pagi ini sejak 13 Okt lalu.
Pihak berkuasa kesihatan Erenhot dalam kenyataan semalam berkata, kenderaan dilarang keluar atau masuk ke bandar itu, kecuali yang membawa barang keperluan dengan kebenaran rasmi.
Bandar itu turut menutup venue awam dalam bangunan seperti pawagam, kafe internet dan gimnasium, destinasi pelancongan serta lokasi untuk aktiviti keagamaan.
Bandar Xian di wilayah Shaanxi melaporkan lima kes penularan tempatan semalam.
Bandar itu menutup sesetengah destinasi pelancongan untuk kerja pembasmian kuman, manakala individu yang tiba di bandar itu dari luar wilayah wajib menunjukkan bukti ujian saringan negatif dalam tempoh 48 jam sebelum mereka boleh melawat lokasi pelancongan atau menginap di hotel.
Bandar Changsha di wilayah Hunan dan Yinchuan di wilayah autonomi khas Ningxia masing-masing turut mencatatkan satu kes semalam, menurut data NHC.
Yinchuan menasihatkan penduduknya tidak meninggalkan bandar itu untuk perjalanan tidak perlu dan menutup tempat awam seperti bar dan pawagam di dua daerah berisiko tinggi.
Keseluruhan 25 kes, termasuk pelancong yang tiba dari negara lain, dicatatkan semalam berbanding 24 kes sehari sebelum itu. Sebanyak 19 kes baharu tidak bergejala turut dikesan semalam, yang diklasifikasikan secara berasingan daripada kes positif.
Tiada kematian baharu dilaporkan, menjadikan keseluruhan angka korban kekal pada 4,636 kes. China setakat ini melaporkan 96,571 kes Covid-19 sejak penularan bermula pada lewat 2019.