
Mayat rentung itu ditemui di sebuah kampung di Sagaing, kawasan yang melihat pertempuran sengit antara pasukan tentera dan militia ditubuhkan golongan yang membangkang pemerintahan tentera sejak rampasan kuasa 1 Feb lalu. Menurut penduduk kampung itu, beberapa mangsa malah telah dibakar hidup-hidup.
Rakaman video dikatakan menunjukkan mayat rentung itu tersebar di media sosial, dengan gambar diterbitkan media termasuk portal berita Myanmar Now.
Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman itu, atau dakwaan melibatkan kematian 11 mangsa itu. Jurucakap junta tentera juga gagal dihubungi untuk mengulas.
Seorang sukarelawan di kawasan itu yang meminta identitinya dirahsiakan memberitahu dalam perbualan telefon, tentera telah memasuki kampung Don Taw pada awal Selasa, manakala mangsa dibunuh sekitar jam 11 pagi sama.
Kyaw Wunna, anggota Pasukan Pertahanan Rakyat di wilayah itu berkata dalam perbualan telefon, tentera memasuki kampung itu dengan melepaskan tembakan, manakala mereka yang ditahan dibawa ke padang berhampiran sebelum dibunuh.
Ahli keluarga seorang daripada mangsa berkenaan berkata lelaki berusia 22 tahun itu hanya pelajar universiti, bukan anggota militia malah tidak bersenjata.
Dr Sasa, jurucakap kerajaan bayangan yang ditubuhkan susulan rampasan kuasa Februari lalu mengongsikan nama mangsa terlibat di media sosial. Semuanya lelaki termasuk seorang budak berusia 11 tahun.
Myanmar huru-hara sejak tentera menggulingkan kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari, dengan bantahan besar-besaran dan pembentukan militia digelar Pasukan Pertahanan Rakyat melawan tentera.