BEIJING: China dan Filipina harus mengurus perselisihan secara tertib, kata Kementerian Luar China selepas pertemuan bersemua pertama diplomat kanan kedua-dua negara sejak wabak Covid-19 melanda.
Ketegangan antara kedua-dua negara meruncing ekoran pertikaian di kawasan-kawasan di Laut China Selatan yang menjadi rebutan, dan keberadaan tentera AS di Filipina yang semakin meningkat.
“Kedua-dua negara mengesahkan betapa pentingnya untuk kita mengurus perselisihan secara tertib menerusi perundingan yang mesra, serta mengekalkan hala tuju umum persehabatan Sino-Filipina,” kata kementerian itu dalam kenyataan.
Kenyataan ini menyusuli lawatan tiga hari naib menteri luar China ke Manila untuk bertemu rakan sejawat di Filipina, Theresa Lazaro.
Perundingan itu turut menyentuh aspek di mana kedua-dua negara boleh bekerja dengan lebih rapat, seperti persetujuan untuk mengeratkan kerjasama dalam bidang pertanian, prasarana, tenaga, dan budaya.
Lazari dalam kenyataan berkata hampir empat tahun berlalu sejak perundingan diplomatik tahap tinggi antara Beijing dan Manila, dan mahu ia diadakan dengan lebih kerap.
Filipina awal minggu ini mengumumkan empat pangkalan tentera baharu di bawah perjanjian pertahanan dengan Washington, yang akan meningkatkan keberadaan tentera AS di negara itu.
Kementerian Luar China pada Rabu memberi amaran kepada negara serantau supaya berwaspada dan elak dipergunakan AS.