
SEOUL: Duta nuklear tertinggi Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun yang mengadakan rundingan tiga hala di sini pada Jumaat menyeru masyarakat antarabangsa supaya menghantar pulang semua warga Korea Utara yang bekerja di luar negara selaras dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) susulan provokasi negara itu.
Ketua perunding nuklear Korea Selatan Kim Gunn bertemu rakan sejawatannya dari AS dan Jepun, Sung Kim dan Takehiro Funakoshi, bagi membincangkan usaha bersama untuk mengatasi ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat dari Pyongyang, menurut agensi berita Yonhap.
Sesi tiga hala itu kali terakhir diadakan pada Disember di Jakarta.
Dalam kenyataan, Seoul, Washington dan Tokyo menggesa masyarakat antarabangsa supaya menghantar pulang semua pekerja Korea Utara dan menyeru negara itu mematuhi tanggungjawabnya mengikut resolusi Majlis Keselamatan PBB.
“Kami mengulangi kebimbangan bahawa pekerja teknologi maklumat (IT) Korea Utara di luar negara terus menggunakan identiti dan kewarganegaraan palsu untuk mengelak sekatan Majlis Keselamatan PBB dan memperoleh pendapatan di luar negara bagi membiayai program WMD (senjata pemusnah besar-besaran) dan peluru berpandu balistik yang menyalahi undang-undang,” kata Yonhap memetik kenyataan itu.
Mengikut sekatan PBB, semua negara anggota dikehendaki menghantar pulang warga Korea Utara yang memperoleh pendapatan dalam bidang kuasa mereka.
Ketiga-tiga utusan itu juga mengutuk sekeras-kerasnya provokasi peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini di tengah-tengah ketegangan baharu di Semenanjung Korea.
“Kami menyatakan kekesalan mendalam bahawa Korea Utara terus mengabaikan kesusahan rakyatnya, sebaliknya memilih untuk mencurahkan sumber yang terhad ke dalam program peluru berpandu dan balistik yang jelas melanggar pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC),” kata utusan itu dalam kenyataan bersama.
Bercakap kepada pemberita, Kim berkata “taksub nuklear Pyongyang ibarat bumerang yang akan merosakkan diri sendiri dan memusnahkan masa depan semua rakyat Korea Utara.”
Beliau menegaskan bahawa ketiga-tiga negara itu akan menangani secara berkesan provokasi Korea Utara pada masa akan datang dan mengurangkan aliran pendapatan yang membiayai aktiviti haramnya, ketika rejim tertutup itu sedang bersiap sedia untuk membuka semula sempadannya.