
TEHRAN: Iran menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar berikutan kekejaman rejim Zionis di Masjid Al Aqsa baru-baru ini.
Agensi berita republik Islam (IRNA) melaporkan perkara itu dibangkitkan oleh menteri luar Iran, Hossein Amirabdollahian semasa perbualan telefon bersama dengan Setiausaha Agung OIC Hussain Ibrahim Taha yang berada di Beijing pada malam hari Khamis.
Diplomat tertinggi Iran itu berkata mesyuarat tergempar itu adalah lebih baik diadakan di peringkat menteri luar, dan menambah Iran bersedia untuk hulurkan sebarang bentuk kerjasama yang perlu dalam menjayakan mesyuarat tergempar itu.
Amirabdollahian merujuk kepada perbincangan telefon Presiden Ebrahim Raisi baru-baru ini dengan rakan sejawatannya dari Indonesia mengenai perkara yang sama, memaklumkan setiausaha agung OIC mengenai program lain yang dirancang republik itu berhubung perkara berkenaan, menurut IRNA.
Ia berkata Taha juga telah memaklumkan kepada menteri luar bahawa Jawatankuasa Hal Ehwal Eksekutif OIC akan bersidang pada Ahad ini untuk mengkaji semula tindakan Israel yang menghina masjid suci itu baru-baru ini.
Sumber berita melaporkan tentera Zionis menyerbu Masjid al-Aqsa sekali lagi pada malam hari Rabu dan memukul jemaah Palestin, malah cuba mengusir rakyat Palestin dari masjid suci itu.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan ramai rakyat Palestin cedera dalam serbuan itu, namun tentera Zionis tidak membenarkan kakitangan perubatan memasuki tapak suci itu.
Polis rejim Zionis turut mengumumkan mereka menangkap puluhan rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa.
Beberapa sumber Palestin melaporkan lebih 200 jemaah cedera dan 400 yang lain ditangkap.